Dr Kamarul Zaman Yusof

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan tidak mahir  perihal undang-undang negara ini ketika bercakap mengenai hukuman penjara terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Menurut pengulas politik, Dr. Kamarul Zaman Yusof, kenyataan Mahathir dalam “The Rule of Law” semalam jelas mencerminkan bahawa Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) itu naif mengenai hukuman penjara.

“Masalah utama dengan Tun Dr Mahathir ialah beliau suka bercakap mengenai semua perkara termasuk perkara yang beliau tidak mahir seperti perkara undang-undang dan agama.

“Dalam soal (Datuk Seri) Najib tidak menjalani hukuman penjara dan denda walaupun setelah beliau dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ini, ia bukanlah semata-mata kerana beliau telah membuat rayuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam tulisan beliau bertajuk “The Rule of Law” semalam Dr. Mahathir mempersoalkan mengapa Najib tidak menjalani hukuman penjara dan denda walaupun setelah beliau dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu.

Dakwa Dr. Mahathir, bila seseorang didapati bersalah, beliau bersalah sehingga Mahkamah Rayuan memutuskan beliau tidak bersalah.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, pada 28 Julai tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan telah memberikan Penggantungan Pelaksanaan (Stay of Execution) yang juga turut dipohon Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2014.

Anwar ketika itu dijatuhkan hukuman penjara lima tahun atas pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadi beliau, Mohd Saiful Bukhari Azlan, oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014.

“Oleh itu, apa yang berbeza di dalam layanan terhadap Datuk Seri Anwar dan Datuk Seri Najib? Malah, bukan setakat mereka berdua, ramai lagi telah diberikan Penggantungan Pelaksanaan (Stay of Execution) ini.

“Mohon Tun Dr Mahathir hadam betul-betul Kanun Prosedur Jenayah dulu sebelum buat komen dalam hal ini,” katanya. – MalaysiaGazette