Sesi menandatangani MoU antara UMP diwakili Prof Dato Ts Dr Yuserrie Zainuddin bersama Presiden FEMAC, Azizul Mohd. Othman

KUANTAN – Kerjasama strategik antara Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Persekutuan Pusat Bertauliah JPK Malaysia (FeMAC) bakal memberi peluang kepada graduan untuk menyambung pengajian Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi yang ditawarkan universiti itu.

Naib Canselor UMP UMP, Profesor Datuk Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, pihaknya menawarkan tiga jurusan melibatkan kemahiran lepasan Diploma Vokasional Malaysia (DVM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Katanya, FeMAC merupakan sebuah badan bersekutu yang memayungi ratusan pemberi latihan kemahiran (Skill Training Providers) yang sinonim dengan badan pengiktiraf seperti Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK)

“FeMAC terkenal dalam memperkasakan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Kemahiran (TVET) yang menyumbang kepakaran terhadap pembangunan negara negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin manakala FeMAC diwakili oleh Presidennya, Azizul Mohd. Othman dan Timbalan Presiden FeMAC, Ts. Dr. Ravinthiran A/L Ramasamy.

Beliau berharap kerjasama yang dijalinkan dapat melebarkan lagi kemahiran mahasiswa untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah seterusnya ke peringkat ijazah kedoktoran (PhD).

“Melalui kolaborasi ini juga pihak FeMAC dilihat dapat membantu tenaga pengajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi untuk mendapatkan sijil kompetensi tenaga pengajar.

“UMP akan berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam pelbagai bidang misalnya menawarkan Program Akademik peringkat Master Eksekutif kepada pengurusan tertinggi FeMAC melalui UMP Advanced,” katanya.

Jelasnya UMP akan memberikan tumpuan yang khusus dalam konteks peranan UMP sebagai rakan akademik kepada pihak FeMAC. – MalaysiaGazette