Zairil Khir Johari
Zairil Khir Johari.

GEORGE TOWN – Pulau Pinang akan berdepan  krisis ekonomi jangka panjang sekiranya Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) yang dahulunya dikenali sebagai Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) tidak diteruskan.

Ia susulan kerajaan negeri akan kehilangan banyak pelabur kerana tiada tapak membangunkan industri teknologi.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri, Zairil Khir Johari berkata, kerajaan negeri perlu menyediakan tanah untuk menarik pelabur asing dan persekitaran yang mematuhi nilai alam sekitar, sosial dan tadbir urus bagi mengelakkan krisis ekonomi.

“Pada dasarnya, pihak kerajaan negeri tidak menghadapi implikasi kewangan yang berat sekiranya pelaksanaan PSI tertangguh atau terbatal namun kesan kehilangan projek ini terhadap ekonomi Pulau Pinang adalah sangat besar untuk jangka masa panjang.

“Ini adalah kerana, sebagai sebuah negeri perindustrian, Pulau Pinang juga perlu menyediakan tanah untuk menarik pelabur asing yang baru pada masa depan.

“Ketiadaan tapak industri seperti Green Tech Park bagi perkembangan industri berteknologi tinggi masa depan akan menyebabkan Pulau Pinang kehilangan peluang untuk menarik pelaburan bernilai berpuluh bilion ringgit,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tanjung Bungah.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Machang Bubok, Lee Khai Loon (PKR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini  hari ini mengenai kesan sekiranya PSI dimansuhkan.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, pembatalan projek itu juga akan menjejaskan reputasi Pulau Pinang sebagai sebuah destinasi pelaburan dan pertumbuhan ekonomi negeri pada masa depan.

“Malah implikasi lain kepada Pulau Pinang ialah kehilangan peluang pekerjaan, perniagaan dan pendapatan kepada rakyat dan syarikat tempatan yang menanti peluang serta kemajuan di kawasan selatan negeri ini.

“Selain itu, komuniti nelayan juga tidak dapat menikmati manfaat yang sedang dirancang dan diatur di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial dan program penglibatan komuniti yang dijenamakan sebagai PELITA,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast