Prof. Madya Dr. Ku Hasnita Ku Samsu

KUALA LUMPUR – Pendidikan Kewarganegaraan Global (GCED) dilihat antara kaedah terbaik bagi mendidik masyarakat untuk menangani perkara yang boleh menggugat keamanan dunia.

Justeru, forum kesedaran GCED bermula esok hingga 28 November ini bertujuan untuk menyebarkan kesedaran dalam kalangan warga pendidik seperti guru, guru pelatih dan pensyarah mengenai pendidikan kewarganegaraan global.

Forum di bawah jenama Wacana Intelektual Perdana Fakulti Ekologi Manusia ini juga bertujuan mempromosikan budaya keamanan sejagat dengan harapan mereka dapat menyebarkan elemen berkaitan dengan pendidikan kewarganegaraan global kepada pelajar.

Menurut pengerusi program, Prof. Madya Dr. Ku Hasnita Ku Samsu, forum itu ditaja sepenuhnya oleh Asia-Pacific Centre of Education for International Understanding (APCEIU), Korea Selatan sebanyak USD27,000 (RM112,900).

Katanya, APCEIU adalah sebuah agensi di bawah naungan UNESCO yang mempromosi dan membangunkan Pendidikan untuk Kefahaman Antarabangsa (EIU) dan GCED dengan negara anggota UNESCO.

“Forum ini diadakan dengan kerjasama Global Citizenship Education Cooperation Centre USM (GCC-USM), Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, Cheras; Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi; Persatuan Guru-guru Teknik & Vokasional Malaysia serta Majlis Guru Bimbingan dan Kaunseling Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Ku Hasnita yang juga pensyarah di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, forum itu melibatkan tiga sesi perbincangan panel berdasarkan tema keganasan global, penyebaran berita palsu dan pembinaan keamanan.

Menurut beliau, tema keganasan global mencakupi perbincangan mengenai isu kezaliman dan kebencian, ekstremisme dan peranan pendidik dalam menangani isu keganasan global.

Tema penyebaran berita palsu pula akan memfokuskan kepada cabaran dan trend penyebarannya mengenai pandemik Covid-19 di peringkat tempatan dan global.

Katanya, perbincangan juga akan menjurus kepada peranan pendidik dalam menangani penyebaran berita palsu.

“Seterusnya, tema pembinaan keamanan akan menekankan aspek berkaitan dengan keharmonian dalam konteks Malaysia dan global serta peranan pendidik dalam memupuk keharmonian di peringkat tempatan dan global.

“Selain itu, strategi untuk memupuk keharmonian dalam masyarakat pelbagai etnik dan masyarakat aneka kepelbagaian dengan kehadiran pelbagai warga asing di Malaysia turut akan dikupas,” katanya.

Kata beliau, melalui pengisian forum itu, peserta diharapkan dapat menyedari budaya keamanan di peringkat tempatan dan global serta bermotivasi untuk menyebarkan informasi berkaitan kewarganegaraan global kepada pelajar masing-masing.

Pendidik juga dijangka lebih memahami peranan mereka untuk memupuk kesedaran kepada pelajar mengenai kepentingan memelihara keamanan dan keharmonian di peringkat tempatan dan global. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast