Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak keluar dari balai polis selepas selesai membuat laporan polis berkaitan cubaan menyembunyikan bukti penting berkaitan 1MDB di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 27 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak meminta polis menyiasat jika terdapat percubaan disengajakan pihak tertentu menyembunyikan bukti bagi mengaitkan kesalahannya dalam kes 1MDB.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, siasatan juga perlu melibatkan individu penting dalam Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, beliau terkejut dengan kenyataan SPRM minggu lalu bahawa baki sebanyak RM65 juga daripada dana yang dikaitkan dengan 1MDB dan ahli perniagaan dalam buruan Jho Low, ada kena mengena dengan keluarga bekas Gabenor Bank Negara.

“Oleh itu, saya membuat laporan polis hari ini untuk meminta pihak berkuasa menyiasat jika terdapat percubaan yang disengajakan untuk menyembunyikan bukti material daripada saya.

“Serta turut menyiasat individu penting dalam Jabatan Peguam Negara dan SPRM ketika dalam pentadbiran PH.

“Saya dan juga rakyat Malaysia terkejut dengan pengesahan terbaharu SPRM mengenai baki RM65 juta dana yang dikaitkan dengan keluarga terdekat bekas Gabenor Bank Negara,” katanya kepada pemberita selepas selesai membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi hari ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bercakap pada media selepas selesai membuat laporan polis berkaitan cubaan menyembunyikan bukti penting berkaitan 1MDB di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 27 NOVEMBER 2021.

Menurut Najib, laporan sebuah media antarabangsa mendakwa sebanyak RM700 juta telah dipindahkan ke akaun bank yang dikaitkan dengan bekas Gabenor itu sejak 2013 hingga 2017.

Beliau kecewa kerana tidak ada mana-mana agensi pihak berkuasa menyiasat perkara yang didedahkannya sebelum ini.

“Lebih mengecewakan pendedahan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dua hari lalu yang mengatakan dia sedar mengenai urus niaga tersebut,” katanya.

Bahkan, tegas beliau, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengakui polis mengetahui perkara itu sejak 2019 lagi.

Bagaimanapun, katanya, apabila perkara itu diungkit, pihak tertentu mendakwa kes berkenaan masih dalam siasatan dan tidak pernah selesai.

“Semua maklumat ini tidak pernah dimaklumkan kepada saya mahupun barisan peguam bela saya untuk dijadikan bahan bukti bagi pembelaan di mahkamah.

“Walaupun, maklumat itu penting untuk mempertahankan saya daripada pertuduhan kes SRC dan 1MDB, namun pihak berkenaan tidak mengendahkannya,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Najib, beliau turut dimaklumkan seorang saksi dalam kes SRC telah menerima lebih RM85 juta dana yang dikaitkan secara langsung dengan 1MDB.

“Saya dan peguam saya juga tidak dimaklumkan mengenai perkara ini, walaupun individu (saksi pihak pendakwa) antara yang berperanan penting dalam kes SRC,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Najib buat laporan polis lagi hari ini

1 Komen

  1. iNI BERMAKNA SELAMA INI ADA YANG TIDAK BENAR DAN MEMANG PERANCANGAN MAHU MENGENAKAN DSNR DENGAN TUDUHAN PALSU..
    BAWA KEMBALI AMAR SINGH ,TOMMY TOMATO DAN RAMAI LAGI TERMASUK TDM SEKALI

Comments are closed.