KUALA TERENGGANU – Lencongan trafik membabitkan laluan Plaza Tol Paka di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) akan diaktifkan esok antara 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Kenyataan LPT2 Sdn Bhd hari ini memaklumkan lencongan itu adalah bagi memastikan kelancaran Latihan Keselamatan Kecemasan yang dianjurkan dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Alam Sekitar Malaysia serta pihak media.

“Pelanggan lebuh raya di kawasan tersebut dinasihatkan untuk mematuhi arahan yang diberikan oleh pihak LPT2 dan pihak polis sepanjang latihan tersebut bagi memastikan perjalanan yang lancar dan selamat ke semua destinasi di Pantai Timur,” menurut kenyataan itu.

Maklumat terkini mengenai keadaan trafik akan dipapar di laman Facebook dan Twitter LPT2 serta laman sesawang www.lpt2.com.my – Bernama