PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

ALOR SETAR – Polis berjaya mengagalkan cubaan menyeludup masuk 17 pendatang tanpa izin warga Myanmar ke negara ini berikutan tertangkapnya tiga lelaki warga tempatan yang memandu tiga kenderaan berasingan di Plaza Tol Hutan Kampung arah Selatan, dekat sini, Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi itu, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan JSJ Bukit Aman bertindak menahan secara serentak tiga kereta dipandu lelaki berumur antara 40 hingga 50 tahun itu.

“Hasil pemeriksaan menjumpai 12 wanita dan lima lelaki warga Myanmar berumur antara 21 hingga 44 tahun di dalam tiga kereta yang ditahan itu. Kesemua mereka didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Kesemua pendatang tanpa izin dan tiga lelaki berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Roze berkata, hasil siasatan mendapati ketiga-tiga lelaki berkenaan bertindak sebagai ‘transporter’ dan disyaki menerima upah RM200 daripada ejen bagi setiap pendatang yang diangkut.

“Ketiga-tiga lelaki berkenaan bergerak dari Perak untuk mengambil pendatang tanpa izin di Changloon dekat Kubang Pasu untuk dihantar ke rumah transit di Perak.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipemerdagangan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua mereka termasuk pendatang tanpa izin tersebut direman selama 28 hari bermula hari ini di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA),” katanya.

Beliau berkata, polis Kedah akan meneruskan usaha membanteras aktiviti pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran di negeri ini dan orang ramai diminta membantu menyalurkan maklumat menerusi talian 04-7741403 sambungan 105 atau MERS 999. – Bernama