Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir
Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.

KUALA LUMPUR – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) kekal dengan pendirian berhubung sekolah vernakular yang wajar dimansuhkan secara berperingkat.

Ketua Penerangannya, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, langkah itu diambil sekiranya Bahasa Melayu tidak dimartabatkan dan persejarahan Malaysia disongsangi menerusi silibus di sekolah vernakular.

Katanya, Armada sememangnya sedar dan tidak jumud dengan kepentingan memperkasa sistem pendidikan negara serta kesedaran terhadap kepentingan untuk masyarakat mempelajari bahasa pengantar kedua mahupun ketiga selain Bahasa Inggeris seperti Mandarin dan Tamil.

“Pendirian Armada adalah tuntas, sepertimana pendirian atas doktrin tanggungjawab bersama jemaah menteri yang memutuskan bahawa sekolah vernakular tidak akan dimansuh (mungkin dalam situasi semasa) atas keterbatasan keputusan jemaah menteri berdasarkan keputusan Kabinet menurut Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Armada kekal atas prinsip dan citra nasional yang telah diputuskan secara kolektif oleh Armada berdasarkan teras cita perjuangan nasionalisme yang dibawakan untuk menjayakan agenda perpaduan dan integrasi nasional bagi melihat roh Bangsa Malaysia diterjemah menerusi proses sosialisasi yang utama di bawah satu bumbung di peringkat sekolah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Ashraf berkata, dalam memaknai rencam kemajmukan bangsa dalam tanah pusaka Malaysia untuk berdiri atas makna kecintaan silang budaya dan bahasa dalam negara, namun segenapnya perlu dijayakan bawah satu bumbung, bukan dipisah-pisah sistem pelaksanaannya dan Bahasa Melayu kekal menjadi teras pemerkasa perpaduan.

Dalam pada itu, menjawab tohmahan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, Mohd Ashraf berkata, menjadi duri dalam daging menggagalkan perencanaan integrasi bangsa Malaysia atas teras Melayu (bahasa dan penulisan)

Ujarnya, Malaysia tidak lupa betapa tegar DAP dan institusinya cukup membela sekolah vernakular dan menolak tulisan jawi.

“Tidak mungkin YB Steven yang asyik dalam bermadah tidak meneliti peratusan anak-anak bukan Melayu di sekolah jenis kebangsaan yang tidak boleh bertutur pun bahasa kebangsaan.

“Ini merupakan suatu realiti, mereka lahir di Malaysia, mereka mendiami negara ini dan negara ini telah menjadi kampung halaman mereka, tetapi tetap gagal bertutur bahasa kebangsaan,” katanya.

Tambah beliau, warga Bangladesh, Pakistan, Nepal yang tinggal baru beberapa bulan di negara ini telah ramai yang lebih fasih berbahasa Melayu.

Malah katanya, ada yang baru masuk setahun dua penggunaan tatabahasa mereka lebih baik tambah tanpa pelat mengalahkan mereka yang mempunyai kad pengenalan biru atau warganegara Malaysia.

“Sedarlah dan usahlah berdalih konon nak merubah sikap dan pemikiran kaum Melayu atas nama kesedaran ‘Bangsa Malaysia’ dengan segenap madah kamu semata walhal tersimpan segenap muslihat penipuan dan tidak berlaku adil dengan matlamat sebenar, dalam pada hipokrasi saat tetap membela segenap yang memecah-belahkan agenda integrasi dan penyatuan segenap kaum.

“Jujur, sejauh mana keberanian Steven Sim pula untuk bicara soal sampai bila Cina nak cakap Cina biarpun orang Melayu dan India ada kat depan…sampai bila nak tegur mereka yang pelat gagal fasih berbahasa? Selain dari membuai khayal Melayu yang lunak dengan propaganda Hang Tuah boleh bicara 12 bahasa?” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kenakan cukai harta yang lebih tinggi kepada bukan Melayu yang dah beli, memiliki, dan menduduki tanah rizab Melayu demi hak perlembagaan keistimewaan Melayu. Tengok negara-negara kecil Qatar, UAE, dan Kuwait mengenakan cukai penduduk kepada baka migrants sehingga ke cucu-cicit demi memperkayakan pribumi mereka.

Comments are closed.