Mazlan Lazim menunjukkan suspek utama samun arak yang sedang giat diburu polis.

GOMBAK- Empat orang anggota agensi penguat kuasa yang disyaki bersubahat membocorkan maklumat dicekup bersama enam dua lagi suspek lain kerana dipercayai terlibat jenayah samun minuman keras.

Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pada 24 November lalu, keempat-empat penguat kuasa berkenaan dipercayai telah bersubahat membantu sindiket samun itu dengan membocorkan maklumat mengenai tempat penyimpanan minuman keras yang telah dirampas dalam serbuan penguatkuasaan sebelum ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, tiga suspek lelaki lain telah menaiki sebuah lori memasuki tempat simpanan barang kes  di Dengkil, Selangor pada pukul 2.30 pagi.

“Suspek kemudian telah mengikat pengawal keselamatan di bertugas sebelum memunggah minuman keras yang berada di dalam sebuah lori di tempat simpanan itu dan memindahkan barang kes itu ke dalam lori yang dibawa oleh ketiga-tiga suspek itu.

“Proses pemunggahan itu mengambil masa kira-kira dua jam sebelum ketiga-tiga suspek telah membawa keluar barang kes berkenaan pada pukul 5 pagi,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pagi tadi.

Bertindak atas laporan polis, sepasukan polis menjalankan siasatan dan mendapat maklumat mengenai pembabitan orang dalam terhadap kejadian samun barang kes berkenaan.

Mazlan tidak menolak kemungkinan berlaku kebocoran maklumat daripada orang dalam agensi penguatkuasaan memaklumkan barang kes jenis arak yang berada di lokasi tersebut.

Justeru polis telah melakukan tangkapan ke atas empat anggota penguat kuasa di Dengkil dalam daerah Sepang pada hari kejadian tersebut.

“Mereka berusia antara 25 hingga 49 tahun dan disyaki telah memberikan maklumat kepada sindiket samun berkenaan mengenai tempat simpanan barang kes tersebut.

“Hasil soal siasat dan pemeriksaan terhadap penguat kuasa yang ditahan itu berjaya menemui dadah jenis pil captagon seberat dua kilogram, pil eramin 5 (47 biji), kokain (4.9 gram) yang keseluruhannya anggaran berjumlah RM559,899,” ujarnya.

Selain itu, katanya polis turut menemui penimbang elektronik, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM111,100 dalam kenderaan milik penguat kuasa terbabit.

Malah hasil soal siasat polis ke atas empat penguat kuasa terbabit membawa kepada tangkapan ke atas dua suspek lelaki lain yang disyaki melakukan jenayah samun itu iaitu seorang pemandu dan kelindan lori serta merampas sebuah lori di tepi jalan di Shah Alam dekat sini pada hari sama.

“Pemeriksaan lanjut oleh polis di dalam lori yang dirampas berjaya menemui sebanyak 234 kotak minuman keras jenis brona disyaki tidak bercukai milik pihak berkuasa yang disyaki dilarikan dari tempat barang kes.

“Kesemua enam suspek itu kini sudah direman enam hari sehingga esok bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita masih sedang giat mengesan seorang lagi suspek yang bebas di luar sana yang disyaki berperanan sebagai dalang utama kejadian samun itu,” tegas beliau.-MalaysiaGazette