Mohd Khairuddin Othman

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menyasarkan sekurang-kurangnya 40 pingat emas dikutip menerusi acara teras dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) yang dijadualkan berlangsung tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, selain acara teras, kerajaan negeri juga menyasarkan kutip lima lagi pingat emas dalam acara pilihan.

Katanya, jika 40 pingat emas berjaya dikutip, Selangor akan berada di tangga kelima tertinggi, tetapi tidak menolak kemungkinan tersenarai di tangga ketiga sekiranya dapat mengumpul 45 pingat emas.

“Terdapat 16 jenis sukan teras yang mesti disertai oleh semua negeri dalam Sukma ini, antaranya yang turut menjadi sasaran kita untuk mengutip pingat ialah akuatik, olahraga, menembak, badminton, karate dan squasy.

“Kalau kita dapat capai 40 emas, kita berada dalam senarai lima negeri tertinggi, tetapi untuk mendapat tempat ketiga tertinggi dalam Sukma kita perlukan 45 emas keseluruhan.

“Kita yakin dengan rekod yang ada dalam Sukma sebelum ini, kita mampu menempatkan diri dalam (tangga) ketiga tertinggi bagi acara sukan ini,” katanya pada sidang DUN Selangor hari ini.

Beliau yakin kedudukan atlet Selangor dalam keadaan baik dan mampu mengutip jumlah pingat yang disasarkan sekali gus berada ditempat ketiga tertinggi.

Menurut Mohd Khairuddin, sekiranya atlet mampu mengharumkan Selangor dalam Sukma ini, bukan saja atlet, saya turut mencadangkan keseluruhan anggota Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) mesti hargai dan diberi penghargaan sewajarnya.

Katanya, jadual asal Sukma ialah pada 2020, tetapi tertangguh sebanyak dua kali iaitu pada 2021 dan kali ini dicadangkan tahun 2022 sekitar Jun, Julai atau Ogos tahun depan yang akan dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Sukma 2022 bakal diadakan di Wilayah Persekutuan, namun sejak 2019 MSNS telah membuat persiapan dan persediaan awal bagi menyertai Sukma akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast