Sebanyak 1,905 unit rumah mampu milik sedang dibina melalui Projek SkyAwani 3 di Sentul menerusi Program Residensi Keluarga Malaysia.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,905 unit rumah mampu milik sedang dibina melalui Projek SkyAwani 3 di Sentul menerusi Program Residensi Keluarga Malaysia.

Kementerian Wilayah Persekutuan dalam kenyataan memaklumkan, projek yang dibina dengan kerjasama
Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan SkyWorld itu dibangunkan di atas tanah berkeluasan 4.45 ekar di lokasi yang strategik dalam pusat bandar.

Katanya, unit kediaman berkeluasan lantai 800 kaki persegi yang dijual dengan harga RM300,000 seunit telah berjaya dijual sepenuhnya pada Jun 2019.

“Pembangunan Residensi SkyAwani 3 ini yang telah mencapai tahap siap super structure sepenuhnya mengikut piawaian Pentaksiran Kualiti Dalam Sistem Pembinaan (QLASSIC) daripada CIDB.

“Ini bagi memastikan aspek kualiti binaan diberi penekanan dan turut dilengkapi dengan kemudahan bertaraf kondominium. Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun hadapan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, sehingga kini, sebanyak 62,836 unit rumah yang melibatkan 102 projek Residensi Wilayah Keluarga Malaysia telah mendapat kelulusan untuk pembinaan di Wilayah Persekutuan.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 95 projek adalah di Kuala Lumpur, (3) projek di Putrajaya dan (4) projek lagi di Labuan.

“Kementerian percaya melalui kerjasama dua hala bersama pihak swasta, sasaran untuk membangunakan lebih banyak Residensi Wilayah Keluarga Malaysia di Wilayah Persekutuan mampu dicapai.

“Justeru, pihak kerajaan akan terus komited dalam menyediakan kemudahan serta persekitaraan yang kondusif untuk memastikan kesejahteraan sosial dan keselesaan kehidupan rakyat sentiasa diutamakan sebagai salah satu obligasi sosial kepada warga Wilayah Persekutuan selari dengan matlamat ‘Our City Our Home’,” katanya. – MalaysiaGazette