Pemain Selangor FC, Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi (kiri) diasak pemain UITM FC, Ousmane Fane (kanan) pada perlawanan Liga Super Malaysia 2021 antara Selangor FC lawan UITM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 03 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Melaka United berjaya mendapat semula khidmat bekas penyerang import pasukan Selangor, Ifedayo Olusegun bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Berita itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Melaka, Datuk Seri Justin Lim kepada wartawan Astro Arena sambil memberitahu, kelab itu menandatangani Ifedayo dengan kontrak 1+1.

Ini bermakna pemain berusia 30 tahun itu menandatangani kontrak selama setahun dan mempunyai pilihan untuk melanjutkan kontrak pada tahun berikutnya sekiranya dia menampilkan prestasi yang baik pada saingan musim 2022.

Pemain dari Nigeria itu meninggalkan Selangor setelah beliau mendapatkan tawaran yang lebih lumayan dari pasukan lain dalam saingan Liga Super.

Sebelumnya, status pasukan yang memberikan tawaran lumayan kepada Ifedayo menjadi teka-teki pada musim musim depan.

Pada masa sama,  Justin turut mengumumkan pihak pengurusan mahu mengekalkan Zainal Abidin Hassan sebagai ketua jurulatih bagi menghadapi saingan musim depan.

Selain itu, tiga pemain import turut dikekalkan iaitu Sony Norde, Manuel Ott dan seorang lagi penyerang iaitu Adriano Narcizo.

Namun dua pemain import lain iaitu Giovane Gomes dan Jang Suk-won tidak berada dalam perancangan.

Melaka United hanya mampu menamatkan saingan Liga Super musim ini di tangga kelapan tetapi mereka menampilkan prestasi cemerlang dalam saingan Piala Malaysia musim ini dimana mereka berjaya mara sehingga ke peringkat separuh akhir.

Namun, langkah mereka ke pentas final disekat oleh KL City selepas pasukan itu menang menerusi penentuan sepakan penalti setelah keputusan agregat terikat 2-2. – MalaysiaGazette