Pemenang dalam kategori Foto Esei Cemerlang, Mohd Hazrol Zainal bergambar bersama pemenang dalam kategori Berita Video Terbaik, Norlaile Osman dari Malaysia Gazette selepas Malam Wartawan Malaysia 2021 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 30 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Portal berita, Malaysia Gazette, memenangi Anugerah Malam Wartawan Malaysia anjuran MPI Petronas 2020 dalam kategori Berita Video Terbaik menerusi dokumentari berjudul ‘Kita Mesti Menang: Frontliners HKL, Dari ICU ke Liang Lahad’.

Pemenang membawa pulang wang tunai RM10,000, sijil beserta trofi yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Video tersebut merupakan laporan komprehensif yang mengenengahkan individu-individu belakang tabir tetapi sangat penting dalam pengurusan Covid-19 di Malaysia.

Laporan ini secara tuntasnya menjawab persoalan-persoalan orang ramai ketika itu mengenai kelewatan keputusan saringan Rt-PCR, detik akhir pesakit Covid-19 di ICU serta pengurusan jenazah pesakit termasuk tayammum dan pengebumian.

‘Dari ICU Ke Liang Lahad’ adalah kesinambungan daripada laporan video terdahulu, Kita Mesti Menang.

Portal berita yang bertapak pada 2013 itu turut memenangi Anugerah Malam Wartawan Malaysia 2021 bagi kategori Foto Esei Cemerlang.

Jurugambar Malaysia Gazette, Mohd Hazrol Zainal mengalahkan lima finalis lain dengan foto eseinya berjudul ‘Menang Kalah! Tetap Lawan #Covid-19’.

Untuk rekod, Hazrol yang mula berkhidmat di jabatan foto MalaysiaGazette sejak 2017 pernah memenangi kategori sama pada 2019.

Hazrol membawa pulang wang tunai RM10,000, sijil serta trofi.

Kemuncaknya, Anugerah Kajai 2020 dirangkul akhbar Sinar Harian menerusi laporan ‘Kartel Daging Haram’ oleh Izwan Rozlin dan Muhammad Afham Ramli.

Kedua-dua mereka membawa pulang RM30,000, sijil dan trofi.

Laporan ‘Kartel Daging Haram’ sebelum itu diangkat sebagai penerima Anugerah Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang yang membawa pulang RM10,000, sijil dan trofi.

Anugerah lain adalah Infografik Terbaik (Harian Metro), Desain Halaman Pertama Terbaik (Berita Harian), Kewartawanan Foto Cemerlang (Harian Metro), Penulisan Rencana Cemerlang (New Straits Times), Hadiah Wartawan Muda A.Samad Ismail (The Star) dan TV3 (Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin).

Kategori Penulisan Kolum/Rencana Cemerlang (Utusan Malaysia), Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang (The Vibes), Laporan Radio Terbaik (Bernama Radio), Dokumentari Video Terbaik (TV3), Kewartawanan Multimedia Cemerlang (Malaysiakini), dan Laporan Berita Cemerlang (New Straits Times).

Sementara itu, bekas pengarang Sinar Harian, Allahyarham Datuk Baharom Mahusin turut diberi Anugerah Khas MPI. – MalaysiaGazette