Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pun turut turun ke lapangan untuk memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga ayam.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui harga barang keperluan terutamanya ayam dan ikan meningkat.

Sehubungan itu, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk mengimport ayam sejuk beku dari luar negara untuk menambah kuantiti ayam dalam pasaran.

“Saya telah berbincang dengan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee untuk memberikan kelebihan kepada pengguna membeli ayam dengan mengimport ayam beku daripada luar.

“Kita banjirkan pasaran dengan ayam dari luar yang mana harga lebih murah berbanding harga ayam tempatan,” katanya selepas membuat lawatan dan meninjau harga barang di Myfarm Outlet Kasih Putrajaya, Presint 9, Putrajaya.

Menurut beliau, harga ayam misalnya didapati meningkat sehingga RM9.50 sekilogram hingga menimbulkan kemarahan rakyat.

“Memang benar harga diakui memang naik, ayam milsalnya tidak pernah naik sehingga RM9.50 hingga RM9.80 sekilogram, walaupun pernah naik RM10 sekilogram.

“Tapi ini bukan kebiasaan, biasanya harga ayam RM5.50 sekilogram, kenaikannya tinggi.

“Pelbagai alasan yang diberikan oleh penternak dari segi kenaikan harga makanan ayam dan sebagainya,” tambah beliau.

Ismail Sabri berkata, kerajaan akan membawa masuk 200 kontena ayam sejuk beku mulai minggu depan.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ‘diserang’ beberapa ahli Parlimen pembangkang.

‘Serangan’ itu bermula apabila Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng bangkit mempersoalkan sama ada Alexander sedia bertanggungjawab sekiranya isu kenaikan harga barang tidak dapat ditangani sehingga 9 Disember ini.

Jelas Guan Eng, ini kerana dalam satu temu bual bersama sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 25 November lalu, menteri berkenaan menyatakan kesediaan untuk bertanggungjawab jika isu berkenaan tidak dapat diselesaikannya.

Menjawab kepada persoalan yang dibangkitkan Guan Eng, Alexander berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk bertanggungjawab, namun isu kenaikan harga barang ketika ini bukan di bawah tanggungjawab kementeriannya semata-mata.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, beliau telah mengarahkan MAFI untuk menghentikan sementara eksport ikan bagi mengawal kenaikan harga makanan laut itu.

Jelasnya, ini merupakan tindakan sementara kerana kenaikan harga ikan ketika ini adalah disebabkan bekalan terjejas akibat musim tengkujuh.

”dan kita juga mengeksport ikan, saya dah bincang dengan DS Ronald, minta tengok hentikan eksport kerana yang penting adalah rakyat kita yang sekarang ni dibebankan dengan kenaikan harga. Kalau boleh stop eksport sementara waktu, sementara musim tengkujuh ini.

”Perkara ini pernah dilakukan semasa waktu saya menjawat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, kita stopkan eksport masa musim tengkujuh supaya ikan-ikan ini dapat dijual dengan harga berpatutan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, harga barang keperluan yang semakin meningkat  disebabkan terlalu banyak rantaian sebelum tiba pada pengguna.

“Terlalu banyak rantaian di mana setiap rantaian itu mereka (orang tengah) mendapat keuntungan, ayam contohnya dari penternak hinggalah pemborong, jadi peniaga pun perlu mengambil keuntungan.

“Kita tidak boleh salahkan peniaga, sebab itu saya beritahu Ronald untuk memerangi orang tengah yang pernah saya lakukan dahulu,” ujar Ismail Sabri lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast