Pemandangan Hospital Garcia da Orta di mana seorang doktor didiagnosis dengan varian Omicron bagi coronavirus di Almada, Portugal - Foto Reuters

LISBON – Sebuah hospital besar di sini menutup sementara dua jabatan pediatriknya selepas seorang pekerja kesihatan, yang juga doktor untuk pasukan bola sepak disahkan positif varian Omicron.

Hospital Garcia de Orta di Almada menutup jabatan kecemasan pediatrik dan pesakit luar mulai 10 malam pada hari Selasa untuk tempoh 14 hari.

Dalam satu kenyataan, seramai 28 orang dikesan menjadi kontak kepada petugas kesihatan itu dam kini mereka dikuarantin.

Pihak berkuasa kesihatan Portugal mengesan 13 kes varian Omicron, semuanya melibatkan pemain dan kakitangan kelab bola sepak divisyen atas Belenenses SAD, salah seorang pemainnya baru pulang dari Afrika Selatan.

Jurucakap SAD Belenenses berkata, pekerja kesihatan yang dijangkiti varian Omicron di hospital Garcia de Orta juga merupakan doktor skuad Belenenses SAD.

Beberapa negara telah melaporkan kes varian itu sejak pertama kali dikesan minggu lalu di selatan Afrika.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata, varian itu berpotensi melonjakkan jangkitan kes Covid-19. – Reuters