Rosli Abdul Jabar

KUANTAN – Pas Pahang  tetap dengan agenda memperkasakan kerjasama dengan memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan  mempertahankan Perikatan Nasional (PN) di negeri ini sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)

Pesuruhjaya Pas Negeri Pahang, Rosli Abdul Jabar menegaskan, MN di Pahang masih dalam keadaan harmoni dan Pas Pusat juga masih kekal dengan kerangka agenda ‘Perkukuhkan MN dan Pertahankan PN’

Beliau menyifatkan kenyataan daripada pengerusi PN Pahang bahawa gabungan parti itu akan bertanding di semua 14 kerusi Parlimen Pahang pada PRU 15 mengambil kira jika gabungan dan rundingan bersama UMNO gagal.

“Pas Pahang masih tetap dengan objektif penyatuan iaitu tidak berlakunya pertembungan tiga penjuru di PRU15 akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Usaha Pas untuk  dan mencapai objektif PRU15 terus berjalan sehingga kini kerana tiada sebarang keputusan rasmi bahawa Pastelah memutuskan hubungan sama ada dengan MN atau PN.

Begitu juga tiada keputusan rasmi berkaitan pembahagian kerusi pilihan raya dengan kedua-dua pihak.

“Pas Pahang akan terus bersabar membawa agenda penyatuan dengan tiga prinsip yang telah dijelaskan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sewaktu Muktamar Pas Kali ke-67 dengan prinsip keadilan kepada seluruh manusia termasuk terhadap musuh.

“Dan prinsip perpaduan ummah sebagai satu keluarga besar walaupun terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama serta Islam memimpin, jadi semua perintah Allah SWT hendaklah dilaksanakan dengan sempurna, di samping menunaikan kewajipan dakwah kepada seluruh manusia yang tidak berpisah dengan politik.

Pas Pahang berusaha gigih untuk realisasikan sistem Islam sebagai sistem pentadbiran negara dan negeri yang akan memberikan keadilan kepada semua pihak termasuk kepada bukan Islam.

“Secara rasminya masih bersama UMNO didalam MN dan akan terus memelihara hubungan baik ini dan berterima kasih kepada Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan UMNO Pahang atas kerjasama yang baik,” ujar beliau. – MalaysiaGazette