Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman (berdiri, empat dari kanan) mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengadakan lawatan ke bilik kawalan selepas Majlis Perasmian Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur di Sepang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 01 DISEMBER 2021.

SEPANG- Semua penjawat awam yang berurusan secara langsung dan bersemuka dengan orang ramai disyaratkan mengambil vaksinasi lengkap Covid-19.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, ketegasan itu dibuat berikutan syarat untuk orang awam yang berurusan di pejabat kerajaan juga perlu melengkapkan dos vaksinasi.

“Kita juga cakap yang berada di belakang kaunter perlu ambil vaksin kerana kita minta yang berada di hadapan (orang awam yang berurusan) divaksin. Takkanlah yang ada di depan divaksin, yang belakang kaunter tidak divaksin.

“Masuk pejabat kerajaan semua kena vaksin, takkanlah penjawat awam tidak divaksin?

“Oleh demikian kita telah meminta ketua-ketua jabatan supaya menguruskan mana-mana penjawat awam tidak divaksin ini dengan cara tersendiri antaranya ada yang kita pindahkan ke tempat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui di majlis perasmian Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KL ATCC) KLIA di sini hari ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebelum ini media melaporkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) masih sedang mengemaskini data penjawat awam yang belum mendapatkan dua dos vaksin Covid-19 selepas tarikh akhir untuk berbuat demikian tamat pada akhir Oktober lalu.

Pihak berkenaan juga memaklumkan seramai 16,902 atau 1.6 peratus penjawat awam belum mendaftar bagi mendapatkan pelalian berkenaan setakat 30 Oktober lalu.

Mohd Khairul Adib berkata, ketika ini, pihaknya sedang memadankan data yang dimiliki JPA dengan data di Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk melibatkan senarai nama penjawat awam yang sudah mendaftar melalui MySejahtera tetapi belum mendapatkan vaksinasi mereka.

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 tahun 2021 dikeluarkan JPA pada 18 Oktober lalu menetapkan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan boleh diambil terhadap mana-mana penjawat awam yang didapati tidak mematuhi arahan daripada Ketua Jabatan untuk mendapatkan dos vaksin Covid-19 selepas 1 November.

Mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (PU(A) 395/1993), antara bentuk hukuman tatatertib boleh dikenakan kepada pegawai awam yang didapati melakukan kesalahan antaranya ialah amaran, denda, dilucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau dibuang kerja.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast