KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) sekali lagi mengulangi gesaannya kepada kerajaan agar langkah-langkah yang lebih
pragmatik diambil bagi menormalisasikan semua kehidupan masyarakat di negara ini.

Langkah-langkah itu ialah menyalurkan pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM1,200 sebulan untuk tempoh enam bulan kepada mereka yang mempunyai pendapatan RM5,000 dan ke bawah.

Bantuan ini seharunya dapat dinikmati bersama oleh sektor ekonomi informal termasuk pertanian dan lain-lain.

Selain itu, semua bentuk premis, termasuklah premis perniagaan yang menerima manfaat moratorium hendaklah membenarkan penangguhan bayaran sewa kepada penyewa, dan tidak membenarkan tindakan pengusiran atau pengisytiharan muflis sekurang-kurangnya sehingga 6 bulan selepas tempoh moratorium berakhir.

DPMM mencadangkan, pembekuan pembayaran atau pengecualian bayaran caj utiliti, Suruhanjaya Syarikat-Syarikat Malaysia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja selama enam bulan untuk sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana Melayu (PMKS), serta tawaran rebat oleh operator telekomunikasi untuk untuk panggilan serta penggunaan internet tanpa wayar.

Kerajaan juga diminta memastikan syarikat-syarikat perbankan melonggarkan syarat-syarat kewangan mereka, khususnya dana yang disalurkan daripada kerajaan agar lebih ramai PMKS menerima bantuan serta kemudahan kredit, tambahnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam hal ini, Bank Negara Malaysia perlu pastikan Indeks Petunjuk Utama (KPI) atau skala pematuhan yang berlainan khusus bagi menangani suasana ekonomi yang getir, atau ketika fasa pemulihan berkuatkuasa.

Kerjaan turut dicadangkan menyediakan dana pusingan untuk pemulihan serta pembangunan PMKS Bumiputera yang akan dikendalikan secara bersama oleh Kementerian Kewangan (melalui TERAJU) dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Ekonomi Bumiputera sebagaimana kejayaan pelaksanaan Tabung Pemulihan Usahawan 1984-1986 bagi menangani krisis ekonomi.

Menurut DPMM, pihaknya amat menghargai dan menyokong sepenuhnya pengumuman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) baru-baru ini untuk menangguhkan Bayaran Anggaran Cukai (CP204), dan Skim Bayaran Ansuran (CP500) bagi PMKS mulai 1Januari 2022 hingga 30 Jun 2022.

Penangguhan bayaran ini adalah sebahagian daripada beberapa cadangan pemulihan ekonomi yang telah disarankan oleh Gabungan NGO-NGO kepada
kerajaan.

Data-data yang dicerna dari dalam dan luar negara telah menunjukkan impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan menokok sebaik ekonomi dibuka semula dengan peningkatan ketara kes-kes kebangkrapan, lambakan hutang dan penggulungan syarikat.

Begitu juga dengan pertambahan kes-kes jenayah, gangguan mental, keganasan rumahtangga dan penceraian.

LHDN telah mengambil langkah proaktif menangani krisis yang telah menjejaskan kelangsungan para usahawan akibat PKP yang berpanjangan, khususnya dari kalangan PMKS Melayu dan Bumiputera.

DPMM berkata, penguncupan ekonomi negara sebanyak 4.5% pada Julai hingga September tahun ini berbanding pertumbuhan sebanyak 16.1% pada suku sebelumnya, peningkatan kes positif Covid-19 dengan varian lebih mudah berjangkit serta Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion yang masih belum mampu mengekang impak PKP memberi petanda banyak lagi yang masih perlu dilakukan oleh kerajaan.

Oleh itu, DPMM berharap agar agensi-agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan dapat mengikut jejak langkah LHDN dalam mencari jalan terbaik membantu rakyat bukan sahaja dari aspek melonggarkan syarat berbentuk fiskal semata-mata, tetapi memastikan juga penguatkuasaan yang lebih telus dan tuntas agar tidak ada pihak yang cuba menangguk di air keruh. – MalaysiaGazette