Aksi penjaga gol KL City FC, Kevin Ray Mendoza pada Perlawanan Akhir TM Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Penjaga Kuala Lumpur City (KL City), Kevin Ray Mendoza yang kini menjadi selebriti bakal beraksi dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020 di Singapura apabila berada dalam senarai 27 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan Filipina.

Pemain berusia 27 tahun menyertai pasukannya itu selepas tamat tugasan bersama KL City untuk aksi final Piala Malaysia menentang JDT di Stadium Nasional Bukit Jalil malam kelmarin.
Sepanjang perlawanan akhir tersebut berlangsung, Kevin ternyata mencuri tumpuan ramai di media sosial gara-gara wajahnya yang tampan.
Namun ketangkasan Kevin yang kelahiran Denmark juga menjadi kunci utama skuad The City Boys kental bertahan sehingga berakhirnya perlawanan 2-0.
Bersambung di babak kedua, tempo permainan pasukan KL City dilihat semakin rancak dan dia berjaya menyelamatkan beberapa bola daripada terus masuk ke gawang gol.

Sementara itu, prestasi Kevin dalam saingan Liga Malaysia pada musim ini cukup cemerlang apabila berada dalam kedudukan teratas dalam senarai jumlah ‘clean sheet’ terbanyak dan kerap kali menyelamatkan gawang KL City daripada dibolosi dengan mudah.

Rekod cemerlang itu menyakinkan ketua jurulatih Filipina, Scott Cooper untuk meletakkannya sebagai penjaga gol utama dalam saingan Piala Suzuki AFF nanti selepas ketiadaan Neil Etheridge yang tidak mendapat pelepasan daripada kelabnya, Birmingham City kali ini.

Turut dipanggil menyertai skuad Filipina ialah empat bekas pemain yang pernah beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim lalu iaitu Amin Nazari (Kedah), Amani Aguinaldo (PKNP), Iain Ramsay (Felda United) dan Patrick Reichelt (Melaka United).

Mereka turut menyenaraikan tiga pemain yang berpengkalan di eropah iaitu Jesper Nyholm (Djurgardens IF), Harry Foll (FC 08 Villingen) dan Angel Guirado (Alhaurin de la Torre) serta seorang pemain dari kelab Jepun, Jefferson Tabinas (Mito Hollyhock).

Untuk saingan Piala Suzuki AFF 2020, Filipina berada dalam kumpulan A bersama tuan rumah, Singapura, Thailand, Myanmar dan Timor Leste. – MalaysiaGazette