Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad beramah mesra bersama ketua-ketua eksekutif pada Majlis Pertemuan Rasmi JAKIM Bersama Ketua Eksekutif GLC Malaysia di Hotel Pulse Grande, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ 2 DECEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Pas sehingga kini masih berselindung mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh parti itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad setakat ini hanya mengesahkan bahawa partinya bakal bertanding pada PRN Sarawak, namun enggan mendedahkan dengan lebih lanjut mengenai perincian jumlah kerusi.

Menurut beliau, jumlah sebenar kerusi yang akan ditandingi oleh Pas hanya akan diketahui pada hari penamaan calon, 6 Disember ini.

“Setakat ini Pas akan bertanding. Nanti hari penamaan calon kita tengok berapa kerusi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pertemuan Rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Bersama Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Tahun 2021 di sini hari ini.

Pada awal November lalu, media melaporkan Pas Sarawak mengesahkan akan bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN12.

Penolong Setiausaha Pas Sarawak, Syamsul Bahrie Mohamad berkata, ia melibatkan DUN Kemena, Beting Maro, Semariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Jepak, Lambir, Pujut dan Samalaju.

Bagaimanapun pada Selasa, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jumlah kerusi yang bakal dipertandingkan pada PRN Sarawak masih dalam penelitian dan parti itu akan bertanding kurang daripada 11 kerusi.

Menurut beliau, penyertaan Pas pada PRN Sarawak kali ini dijadikan sebagai kayu pengukur gerak kerja parti di negeri berkenaan.

“Jumlah kerusi masih sedang diteliti namun ia tidak besar. Dulu kita bertanding sebanyak 11 kerusi, tapi kali ini mungkin tak sampai jumlah tersebut untuk melepaskan angin orang politik,” katanya. – MalaysiaGazette