Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad bercakap kepada media selepas Majlis Zakat Koporat di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 02 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada Malaysia akan terus menghantar jemaah umrah bergantung kepada kelulusan kerajaan Arab Saudi selepas negara itu mengesahkan kes pertama penularan Covid-19 varian Omicron.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, setakat ini, ibadah umrah masih dibenarkan dengan kerajaan mematuhi peraturan yang dikeluarkan Kerajaan Arab Saudi.

Beliau turut mengesahkan tidak menerima laporan jemaah umrah negara dijangkiti Covid-19 ketika mengerjakan umrah ketika ini.

“Kita berdoa kepada Allah SWT agar wabak itu tidak melarat dan itu harapan kita. Setakat hari ini, kita ikut peraturan daripada kerajaan arab Saudi dan mereka masih membenarkan lagi.

“Kita harapkan wabak tidak merebak dan terkawal serta kita dapat mengerjakan umrah,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad (tiga kiri) bersama Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar (tengah) beramah mesra dengan sebahagian wakil syarikat yang menyerahkan zakat perniagaan pada Majlis Zakat Koporat di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 02 DISEMBER 2021.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Zakat Korporat 2021 di Masjid Negara di sini hari ini.

Pada majlis itu, PPZ-MAIWP telah menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM12,035,334.43 daripada 18 syarikat korporat.

Beliau diminta mengulas laporan apabila Arab Saudi mengesahkan kes pertama penularan Covid-19 varian Omicron, menurut laporan Saudi Press Agency yang memetik sumber Kementerian Kesihatan.

Arab News melaporkan, kes itu melibatkan warganegara Arab Saudi yang tiba dari negara Afrika Utara.

Menurut laporan, pihak berkuasa telah bertindak mengasingkan individu tersebut serta kontak rapat.

Mengulas lanjut, ditanya sama ada varian Omicron akan menjadi pertimbangan untuk mengerjakan ibadah haji pada tahun depan, Idris berkata, semuanya bergantung kepada keputusan Arab Saudi dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia. – MalaysiaGazette