Sebahagian pelajar bersiap sedia sebelum melakukan ujian saringan susulan 65 pelajar sekolah tersebut disahkan positif Covid-19 semalam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Seri Puteri Cyberjaya. Foto MALAYSIA GAZETTE, 02 DISEMBER 2021.- Gambar hiasan.

SEREMBAN – Seramai 150 pelajar tingkatan lima Sekolah Seri Puteri (SSP) Cyberjaya yang menjadi kontak rapat kepada pelajar sekolah berkenaan yang positif COVID-19 dipindahkan ke Institut Aminuddin Baki (IAB), Bandar Enstek, dekat sini malam tadi.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata ia bagi memastikan pemantauan dapat dilakukan dengan lebih dekat oleh pasukan perubatan dalam sebuah pusat kuarantin dengan setiap bilik menempatkan dua pelajar.

“Sebentar tadi saya ke IAB di Bandar Enstek, Negeri Sembilan bagi meninjau persediaan pusat kuarantin ini menerima kemasukan murid yang menjadi kontak rapat kes positif COVID-19 di SSP.

“Insya-Allah murid lain juga akan terus dipantau di sekolah dan sebarang perkembangan lanjut kita akan maklumkan kepada ibu bapa secepat mungkin, Alhamdulillah di sini (IAB) disediakan dengan baik dan selesa bagi memastikan anak-anak yang dikuarantin berada dalam keadaan kondusif,” katanya menerusi klip video yang dimuat naik ke Facebooknya malam tadi

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada semua pihak dan agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam memastikan pemantauan dibuat dengan lancar dan baik termasuk sokongan dan dukungan ibu bapa.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman hari berkata Kes positif COVID-19 di Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya kini sebanyak 139 kes melibatkan 114 pelajar, 15 guru dan 10 petugas,

— BERNAMA