KUALA LUMPUR – Armada Bersatu komited untuk membantu usaha Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pelaksanaan model Gerai Prihatin Rakyat dalam menangani isu kenaikan harga barang di pasaran.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, model itu yang telah dilaksanakan sejak awal 2021 dan mula bertapak di Melaka ternyata membantu meringankan beban rakyat ketika kenaikan harga barang.

“Gerai Prihatin Rakyat ini menawarkan potongan harga atas pakej barangan. Contohnya sepakej barangan dapur yang pada asalnya berharga RM35, kini dijual serendah RM15 sahaja.

“Seperti mana dalam program sukarelawan vaksinasi sebelum ini, ARMADA bertindak menjadi penggerak utama inisiatif Gerai Prihatin Rakyat oleh PN ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, bagi tujuan itu Badan Bertindak Armada agak menggerakkan seramai 2,000 ahlinya ke seluruh negara untuk menjadi mata dan telinga bagi membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Badan Bertindak Armada akan membuat pemantauan harga di pasar-pasar serta melaporkan sebarang kegiatan pencatutan harga oleh penjual yang tidak bertanggungjawab.

“Jika ada sebarang aduan atau permasalahan melibatkan harga barang yang mencurigakan boleh dimaklumkan terus kepada Exco Armada Nasional dan Pengerusi Biro Pengaduan Awam, Abdul Mutalib di talian 018-3555904,” katanya lagi. – MalaysiaGazette