BAYAN LEPAS – Dua wanita yang ditahan kelmarin, bagi membantu siasatan kerana membaling satu objek disyaki bungkusan mampat terhadap bayi di sebuah taska di Bayan Baru di sini dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

MalaysiaGazette difahamkan, kedua-dua wanita yang merupakan pekerja taska itu dibebaskan selepas pihak polis selesai merakamkan keterangan mereka.

Semalam, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal mengesahkan dua wanita berusia lingkungan 20-an ditahan selepas polis menerima dua laporan berhubung kejadian menimpa bayi berkenaan pada Rabu lalu.

“Hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada 24 November lalu kira-kira jam 6.45 petang di sebuah taska di Bayan Baru di sini.

“Kedua-dua wanita itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, tular satu klip video berdurasi 44 saat yang menunjukkan seorang individu membaling satu objek disyaki bungkusan mampat di bahagian belakang badan seorang bayi yang berada dalam keadaan tertiarap.

Video tersebut dipercayai dimuat naik ibu mangsa menerusi laman Facebooknya. – MalaysiaGazette