Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) berkuatkuasa pada 7 hingga 31 Disember ini.

Ia sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan keperluan pada masa ini disamping memastikan keberadaan bekalan di pasaran, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

SHKM itu akan melibatkan kawalan harga ke atas item-item tertentu seperti ayam telur ayam dan beberapa jenis sayur-sayuran seperti ayam hidup; ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki; kepala; hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya) dan ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal).

Selain itu, ia melibatkan telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji) telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji) dan telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji).

Bagi sayur-sayuran ia melibatkan kacang panjang; cili merah; tomato; sawi hijau; kobis bulat Import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing) dan timun.

“Diharapkan langkah ini akan berjalan dengan lancar dan membantu menstabilkan harga barang di pasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengumuman harga bagi barangan yang terlibat akan dilakukan dalam masa terdekat iaitu ayam dan telur akan dilakukan di peringkat ladang, borong dan runcit, katanya.

Manakala bagi sayur-sayuran, harga kawalan akan ditentukan di peringkat borong dan runcit.

“Senarai barangan akan dikaji secara berterusan dan akan ditambah atau digugurkan berdasarkan penilaian situasi pasaran.

“Semua pihak di seluruh rantaian bekalan dari kalangan pengeluar, pemborong, pengedar dan penjual dinasihatkan dan diberi amaran akan tindakan tegas atas kegagalan mematuhi skim ini dan juga bagi barang-barang keperluan pengguna yang lain,” ujarnya.- MalaysiaGazette