Mangsa mengamuk dan merosakkan mesin ATM menggunakan parang dalam kejadian di Hentian Genting Sempah, Bentong, hari ini.

BENTONG – Seorang lelaki ditahan kerana didakwa mengamuk dan merosakkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) menggunakan sebilah parang di di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Genting Sempah di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, suspek  seorang lelaki warganegara tempatan yang juga penganggur.

“Suspek berusia 30 tahun mempunyai satu rekod jenayah lampau iaitu penyalahgunaan dadah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Zaiham, suspek telah direman selama empat hari bermula hari ini dan akan dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan psikiatri.

“Ini berikutan hasil semakan mendapati suspek pernah mendapat rawatan sebagai pesakit luar di sebuah hospital di Kuala Lumpur,” katanya.

Zaiham berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan berkaitan jenayah khianat.

Sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette