Hee Loy Sian

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor bercadang menuntut pampasan kira-kira RM300 juta daripada kerajaan Persekutuan atas dasar pemuliharaan lebih 250,207 hektar Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri itu.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli dan Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao negeri, Hee Loy Sian berkata, tuntutan itu bukan perkara baru.

Ini kerana, Kedah dan Pahang juga membuat tuntutan yang sama iaitu RM100 juta bagi Kedah dan RM150 juta untuk Pahang.

Cadangan yang dibangkitkan Elizabeth Wong (DAP-Bukit Lanjan) itu harus mendapat sokongan daripada pembangkang, katanya.

“Saya menyokong kerana secara umumnya amat baik cadangan ini kerana pulihara HSK di Selangor sangat luas Ini juga bertepatan dengan dasar kerajaan negeri pada ketika ini iaitu melaksanakan moratorium ke atas pembalakan selama 25 tahun sejak 2010.

“Pembangkang kena sokong, jangan bantah dan boleh diajukan juga isu ini kepada Kelantan,” katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2022 di sidang DUN Selangor di sini hari ini.

Menurut Loy Sian, dasar itu juga membuktikan kerajaan Selangor melihat jauh ke depan kerana perlindungan hutan dan juga biodiversitinya lebih penting daripada penjanaan hasil melalui sumber kayu balak semata-mata.

Katanya, dengan pelaksanaan dasar moratorium itu, khazanah hutan negeri masih terpelihara seperti yang dilaporkan satu kajian pada Ogos lalu.

“Selangor adalah negeri yang paling rendah mengalami kehilangan hutan, berbanding negeri lain dari tempoh 2001 hingga 2019.

“Tambahan pula, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 21 November lalu ada menyatakan kerajaan pusat akan mencari formula terbaik bagi menilai jumlah pampasan yang dapat memberi manfaat kepada kerajaan negeri dan tidak membebankan kerajaan Pusat.

“Ini disebabkan terdapatnya cadangan dari Kedah dan Pahang yang menuntut pampasan di atas pengekalan kawasan HSK negeri masing-masing,” katanya.

Dalam tuntutan itu, Kedah mencadangkan pampasan berjumlah RM100 juta setahun atas pengekalan 36.4 peratus kawasan HSK, manakala Pahang menuntut RM150 juta setahun atas pengekalan lebih 57 peratus kawasan HSK. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast