Menteri Besar of Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari illegal gambling syndicates EdisiSiasat My
Amirudin Shari

SHAH ALAM – Tidak timbul isu kenapa Berjaya Land Berhad (Berjaya) telah diberi projek pembangunan hartanah sepanjang Sungai Klang walaupun syarikat itu pernah menyaman kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, apa yang berlaku itu tanda kerajaan negeri profesional dalam hal berkenaan dan tidak mencampur aduk politik dengan urusan perniagaan.

Menjawab soalan tambahan Datuk Rizam Ismail (BN-Sungai Air Tawar) yang mempersoalkan kerajaan negeri masih mengurniakan projek kepada Berjaya, beliau berkata, saman itu membabitkan kes zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Katanya, ketika BN memerintah Selangor, kerajaan negeri ada meluluskan projek judi lumba kuda tetapi apabila Pakatan Harapan (PH) ambil alih, projek berkenaan telah ditarik balik.

“Kita tidak mahu ada unsur perjudian dalam projek kita, jadi setelah membuat penilaian projek terdahulu, ada satu lokasi diluluskan untuk tapak judi lumba kita. Kerajaan PH Selangor tak mahu.

“Jadi, Berjaya saman kerajaan Selangor atas dasar itu, yang dilakukan secara profesional. Kita tidak mahu macam kerajaan Persekutuan sekarang, tambah kekerapan cabutan khas oleh syarikat perjudian menjadikan 22 kali,” katanya pada perbahasan penggulungan Bajet 2022 di sidang DUN di sini hari ini.

Menjawab soalan Rizam mengenai banyak anak-anak syarikat kerajaan negeri (GLC) tidak lengkap bermesyuarat, beliau yang memegang portfolio Jawatankuasa Kewangan dan Ekonomi berkata, dakwaan itu tidak benar.

Kata beliau, berdasarkan fakta dan data, hampir keseluruhan GLC telah meningkatkan keupayaan bermesyuarat dengan lebih banyak dan memenuhi keperluan asas.

“Saya ambil contoh, pada 2017, Menteri Besar Diperbadankan (MBI) bermesyuarat dua kali setahun. Pada 2020, kita telah bermesyuarat sebanyak enam kali dan pada 2021 sebanyak empat kali.

“Begitu juga GLC lain seperti Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) tahun ini saja empat kali bermesyuarat dan saya turut hadir dan kalau saya tidak dapat hadir pun mesyuarat tetap dapat dilaksanakan

“GLC yang bukan diketuai saya pun bermesyuarat empat hingga enam kali. Ini termasuk Yayasan Warisan Anak Selangor, tahun lepas sahaja lima kali bermesyuarat,” katanya.

Oleh itu, katanya, tidak ada unsur-unsur GLC tidak bermesyuarat dan kemungkinan jika ada, itu ukes terpencil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast