Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin (dua dari kanan) merasmikan Dato’ Sri Sharkar E-Sports Championship League Parlimen Temerloh di Dewan Tun Razak hari ini

TEMERLOH – Kajian terhadap keadaan jalan dan aliran air perlu diambil kira bagi setiap projek pembinaan jalan baharu di negeri pada masa akan datang terutama melibatkan kawasan tanah tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkat,  kajian tersebut penting untuk dilakukan bagi mengelakkan berlakunya kejadian tanah runtuh.

“Kita sentiasa memantau dan cuba sedaya upaya berharap supaya pembinaan jalan masa masa akan datang kena tengok juga laluan air dan sebagainya.

“Ini bermakna kita kena bersedia ke arah itu sebab kita tengok jalan Cameron Highlands yang lama dan Jalan Bukit Fraser yang lama tidak banyak runtuh, jadi satu kajian perlu dibuat.

”Manakala pemantauan oleh pihak terlibat perlu dilakukan secara kerap dan berterusan bagi jalan sedia ada yang telah dibina,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Dato’ Sri Sharkar E-Sports Championship League Parlimen Temerloh di Dewan Tun Razak hari ini.

Sementara itu, ADUN Lanchang itu berkata liga sukan dalam talian juga merupakan satu platform untuk merapatkan silaturrahim di antara pemain.

Seramai 54 pasukan melibatkan penyertaan 216 peserta berusia 18 tahun sehingga 40 tahun telah bertanding dalam dua peringkat antara Dewan Negeri (DN) dan Parlimen Temerloh.

“Ini satu platform untuk kita semua berkenalan antara satu sama lain, kadang-kadang kita hanya berjumpa di peringkat alam maya sahaja,” katanya.

Program itu, kata Sharkar sebagai sebahagian usaha kerajaan negeri untuk mempromosi pelancongan Temerloh dan bidang lain kepada masyarakat. – MalaysiaGazette