Antara kenderaan berkonvoi dalam satu Himpunan Rakyat Tuntut Tiga anjuran Biro Kepenggunaan Parti Pejuang dengan menampal notis 'Menteri Hentikan Komen Tidak Sensitif' bagi membantah kenaikan harga barang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di hadapan pusat membeli belah Pavilion, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 03 DECEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Polis telah membuka kertas siasatan  berhubung Konvoi Himpunan Rakyat Tuntut Tiga melibatkan lima buah kenderaan di pusat bandar raya petang semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua kenderaan itu dilihat berkonvoi di sekitar kawasan tumpuan orang ramai sambil melekatkan kertas di kenderaan masing-masing yang bertulis “Rakyat Tuntut Tiga, KPDNHEP Kurangkan Kaji Lebihkan Kerja, Menteri Hentikan Komen Tidak Sensitif!, #3 Kartel / Rasuah Dihapuskan, #3 Kuatkuasa Undang-Undang dan KPDNHEP Rakyat Tuntut Tiga.

Katanya, kesemua kenderaan konvoi itu melalui Jalan Bukit Bintang – Jalan Sultan Ismail dan seterusnya menghala ke kompleks Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah membuka kertas siasatan mengikut peruntukan undang-undang untuk menjalankan siasatan ke atas kesemua individu yang terlibat dalam konvoi tersebut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Siasatan dijalankan di bawah di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342]; dan Peraturan 9 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 iaitu larangan berarak.

“Kesemua mereka yang terlibat di dalam konvoi kenderaan tersebut akan dikesan dan seterusnya dipanggil ke IPD Dang Wangi untuk diambil keterangan dalam masa terdekat,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Tambah Noor Dellhan, kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya apabila siasatan selesai dijalankan.- MalaysiaGazette