Star Pisces menyediakan perkhidmatan setiap minggu #malaysiagazette #mgnews

KUALA LUMPUR – Star Cruises telah diberi kebenaran Kerajaan Malaysia untuk memulakan operasi pelayaran pada 22 Disember 2021 menggunakan kapal persiaran Star Pisces.

Star Pisces akan menyediakan lima perjalanan setiap minggu, menawarkan siri jadual perjalanan pergi dan balik dari Pulau Pinang, termasuk jadual perjalanan kapal layar dua malam ke Langkawi, satu malam ke Selat Melaka dan menyediakan lebih banyak pilhan percutian semasa cuti sekolah, cuti akhir tahun dan cuti perayaan hari Krismas.

Genting Cruise Lines merupakan syarikat pelayaran antarabangsa pertama di dunia yang melopori dan memulakan kembali pengoperasian Dream Cruises bermula di Taiwan, Singapura dan Hong Kong.

Genting Cruise Lines dengan pengalaman dan kepakaran dalam mengendalikan kapal pelayaran yang selamat juga merancang melancarkan lebih banyak kapal dibawah seliaan Star Cruises bermula dengan Star Pisces di Pulau Pinang, Malaysia.

Star Pisces pada awalnya akan beroperasi dengan had penumpang sebanyak 50% serta langkah kawalan pencegahan ianya selaras dengan keperluan tempatan dan piawaian antarabangsa.

Setiap individu di atas kapal hendaklah dipastikan telah mendapat vaksinasi penuh bagi memastikan keselamatan penumpang dan kru yang lain di atas kapal.

Selain itu, penumpang yang ingin memulakan perjalanan harus menunjukkan keputusan negatif setelah membuat ujian saringan sebelum menaiki kapal, yang mana ia akan dijalankan di terminal pada hari berlepas.

”Kami berharap agar dapat menjelajahi lebih banyak destinasi didalam Malaysia, dan meluaskan lagi ke destinasi-destinasi wilayah seperti Phuket pada masa hadapan bagi memacu industri pelancongan kruis.

”Kami juga sedang sedaya upaya bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Pelabuhan yang lain bagi mewujudkan ‘Harmonize Cruising Standards’ dalam wilayah tertentu dengan harapan adanya pembukaan kembali aktiviti kruis antarabangsa secara berperingkat dan dikawal rapi dimana ianya akan menarik pelancong untuk ke Malaysia terutamanya daripada kapal kami di Singapura,” kata Kent Zhu, Presiden Genting Cruise Lines.

Tempahan Star Pisces akan dibuka bermula pertengahan bulan Disember ini dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia, pendatang asing dengan pas lawatan jangka masa panjang yang sah, serta pelancong antarabangsa yang telah melengkapkan tempoh masa kuarantin, dan perintah pengawasan dan pemerhatian oleh Kerajaan Malaysia.

Para pelancong boleh memilih konsep pelancongan terkini yang lebih baik berbanding dengan pelancongan berkonsepkan darat yang sedia ada yang mana para pelancong dapat merasai pengalaman pengembaraan kapal pelayaran ‘Super Seacation’ dengan Star Pisces bermula dari RM199 bagi setiap seorang.

Memandangkan kesemua perkhidmatan pelancongan menitikberatkan tentang keselamatan, Star Cruises telah mengambil inisiatif untuk memeriksa dan meningkatkan elemen kesihatan, kebersihan dan protokol operasi bagi memastikan keselamatan penumpang di atas kapal.

Ianya termasuk penjarakan sosial di semua kawasan di atas kapal, prosedur penyediaan makanan dan minuman yang selamat serta protokol nyahkuman dan pembersihan yang teliti. – MalaysiaGazette