Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki mengamuk serta mengeluarkan kata-kata kesat dalam kejadian di hadapan sebuah hotel di Lebuh Queen, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Inspektor yang ditahan susulan mencederakan dua anggota polis serta mengamuk di Lebuh Queen di sini semalam, direman selama tiga hari.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, ketika kejadian suspek berusia 35 tahun itu dikatakan berada dalam pengaruh alkohol sebelum bertindak agresif termasuk mencederakan anggota polis.

“Suspek berpangkat inspektor itu direman sehingga esok bagi membantu siasatan.

“Suspek ditahan di Klinik Pakar Psikiatrik Jalan Perak di sini, untuk rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen  353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MalaysiaGazette difahamkan, sebelum kejadian tersebut suspek yang ditahan kerja atas kesalahan tatatertib itu dikatakan melarikan diri dari sebuah hospital di sini ketika sedang menerima rawatan akibat kaki kanannya patah.

Difahamkan, kejadian mengamuk serta mencederakan dua anggota yang cuba mengawal situasi itu berlaku sejurus pegawai yang bertugas di Pasukan Gerakan Am (PGA) di Perak itu melarikan diri dari hospital.


ARTIKEL BERKAITAN 

Inspektor mengamuk dan cederakan anggota ditahan

MalaysiaGazette semalam melaporkan, seorang pegawai berpangkat inspektor ditahan susulan mengamuk serta cederakan anggota polis dalam satu kejadian di Lebuh Queen di sini, awal pagi tadi.

Difahamkan, suspek yang merupakan pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) di Perak itu membuat bising dan mengamuk di hadapan sebuah hotel serta kuil di kawasan berkenaan kira-kira jam 1.40 pagi sebelum kehadiran pihak polis. – MalaysiaGazette