Datuk Hasni Mohammad (tengah) ketika di temui pada Majlis Pelancaran Kebun Bandar di pekarangan Masjid Taman Impian Emas, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Komponen Barisan Nasional (BN) perlu memberi tumpuan mengukuhkan parti masing-masing sekarang sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad memberitahu, segala kekurangan yang boleh menjejaskan UMNO dan BN perlu diatasi terlebih dahulu.

Bagaimanapun pihaknya terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik menjelang PRU-15 termasuk Pas melalui Muafakat Nasional (MN).

“MN adalah satu persefahaman yang dibuat atas persetujuan kedua-dua pihak di mana satu piagam telah ditandatangani antara UMNO dan Pas.

“Apa yang perlu sekarang ialah kita perkuatkan UMNO dan BN sama ada MN atau PN ada atau tiada,” katanya  selepas Majlis Pelancaran Kebun Bandar di Taman Impian Emas di sini hari ini.

Turut hadir Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Ayub Jamil dan Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Samsolbari Jamali.

Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Ahad menyatakan parti itu tidak pernah memungkiri piagam MN seperti didakwa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Sebaliknya bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, penubuhan MN adalah untuk menentang Pakatan Harapan (PH) yang mana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada ketika itu adalah sebahagian daripada gabungan tersebut.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, di Johor UMNO, BN serta Pas dan Bersatu masing-masing ketika ini menganjurkan program sendiri dan tidak lagi bersama-sama dalam satu program.

“Jadi saya rasa itu satu suasana amat sihat di mana masing-masing jaga parti sendiri,” katanya yang juga Menteri Besar Johor.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast