Sebahagian penduduk membuat bantahan ke atas satu pembinaan menara pangsapuri yang didakwa boleh mengganggu kuil-kuil dan mengancam ketenteraman penganut Hindu dan juga penduduk sekitar di Brickfields, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 05 DISEMBER 2021

KUALA LUMPUR – Majoriti penduduk kecewa dan marah dengan tindakan pihak berkuasa meluluskan projek pembangunan 38 tingkat blok pejabat di Jalan Scott, Brickfields.

Hari ini, mereka tampil meluahkan rasa dengan demonstrasi aman.

Sekurang-kurangnya lebih 30 penduduk Villa Scott melakukan demonstarsi di luar perkarangan kediaman Scott Sentral dan Villa Scott.

Apa yang lebih mengejutkan dan membimbangkan penduduk apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga telah memberikan kelulusan bagi tujuan pembinaan bangunan pejabat mewah itu.

Keluasan tanah bagi pembinaan itu yang disifatkan hanya sebesar gelanggang tenis dengan plot berbentuk L berukuran hanya 1,208 meter persegi diapit antara pembangunan sedia ada.

Rata-rata mereka melahirkan rasa bimbang dengan bangunan setinggi itu yang didakwa boleh menjejaskan keselamatan mereka selain mengundang kesesakan jalan raya yang teruk.

Sebahagian penduduk membuat bantahan ke atas satu pembinaan menara pangsapuri yang didakwa boleh mengganggu kuil-kuil dan mengancam ketenteraman penganut Hindu dan juga penduduk sekitar di Brickfields, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 05 DISEMBER 2021

MalaysiaGazette difahamkan projek seumpama itu telah cuba dijalankan pemaju sekitar 2016 lagi namun telah dihentikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selepas mendapat bantahan.

Namun kali ini, projek Teringin@Sentral itu mendapat kelulusan dan pembinaanya sudah dimulakan tanpa sebarang rundingan dengan penduduk setempat.

Menurut jurucakap penduduk, Stephanie  Koh, beliau terkejut kerana bantahan penduduk kini tidak dipedulikan.

“Lot 635 ini hanya mempunyai keluasan seperti sebuah gelanggang tenis dengan status tanah telah ditukar kepada komersial, sebelum ini ianya digunakan sebagai tempat letak kereta dan tempat cuci kereta namun telah ditutup selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita ingat tidak ada apa-apa projek dengan rancangan sebelum ini telah dibatalkan. Kita telah luahkan kebimbangan kami apatah lagi kedudukan tempat ini yang sentiasa sesak. Lagi pun ada empat kuil di sini, ramai yang datang dan sentiasa sesak.

“Bayangkan, jika pembangunan seumpama bangunan 38 tingkat di buat di sini, apa yang akan terjadi? Adakah ini selamat? Adakah ini baik untuk persekitaran dan penduduk setempat yang juga padat di sini?

“Kami tidak bantah pembangunan tetapi ia perlu bersesuaian dengan saiz tanah, persekitaran dan infrastruktur. Adakah kelulusan yang diberikan ini sebenarnya mengikut garis panduan yang betul? Kita langsung tidak faham,” katanya.

Penduduk, katanya,  jika berlaku kemalangan di tapak pembinaan yang sangat dekat dengan kawasan perumahan mereka kerana pembinaan blok pejabat  yang tinggi itu melibatkan penggunaan kren.

“Cuba bayangkan jika kren jatuh atau apa-apa, ia akan merempuh kondominium kami kerana tidak akan ada banyak ruang di antara dua bangunan. Untuk makluman, kita juga tidak ada banyak ruang untuk kenderaan berat bergerak keluar masuk di kawasan sempit ini.

“Kami hilang akal fikir bagaimana projek seumpama ini boleh diluluskan sebenarnya,” katanya.

Jurucakap penduduk Scott Villa,Stephanie Koh

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Saraswati Rajagopal yang sudah berusia lebih 70 tahun dan antara penduduk paling lama di kondominium Villa Scott merasakan ancaman keselamatan berikutan projek pembangunan berkenaan.

“Kita boleh kompromi apa sahaja jika itu bawa kebaikan tetapi yang ini? Ini adalah hak asasi kita, projek ini mampu mengundang kecelakaan, jika berlakunya kemalangan jiwa, adakah ketika itu barulah kamu semua hendak bertindak?

“Saya tidak berkompromi dengan keselamatan saya dan keluarga saya. Bukan sahaja tempat ini sesak, kini pembinaan yang menyebabkan pelbagai kren dan kenderaan berat keluar masuk tetapi juga bunyi bingit dan sebagainya.

“Unit saya begitu dekat dengan pembinaan ini, saya rasa sangat takut dan bimbang jika apa-apa yang tidak di ingini berlaku. Tolonglah jangan sehingga nasi jadi bubur,” katanya.

Menurut Saraswati, Villa Scott sudah berusia lebih 20 tahun dan Scott Sentral berusia lebih sedekad manakala tanah terbabit terlalu kecil dan terlalu dekat dengan perumahan dan menceroboh privasi penduduk kondominium bersebelahan.

“Saya tidak faham langsung, bolehkah Menteri Wilayah dan DBKL beri jaminan untuk keselamatan kami? Beri dulu kemudian buatlah apa yang kamu mahu. Sehingga itu kita tidak akan berdiam diri,” tegasnya.

Penduduk Scott Villa, Saraswathi Rajagopal

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun mendedahkan  tanah itu telah bertukar tangan dan perintah pembangunan lama dipinda untuk projek baharu itu.

Kui Lun juga mempersoalkan asas kelulusan yang diberikan kepada projek itu walaupun mendapat bantahan serius daripada penduduk. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast