KUALA LUMPUR – Perdana Menteri sedih dengan berita kematian Allahyarham Tan Sri Sabbaruddin Chik sebentar tadi.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menganggap Allahyarham sebagai sifu dan mentornya dalam politik.

Menurutnya, Allahyarham meninggal dunia sekitar pukul 8 malam ini setelah seminggu dimasukkan ke hospital di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

”Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Telah berpulang kepada Allah SWT, seorang insan yang sebahagian kehidupan saya ‘terhutang’ kepadanya.

”Sedih dan duka apabila menerima perkhabaran, sifu dan mentor politik saya, Allahyarham Tan Sri Sabbaruddin bin Chik telah meninggalkan kita semua selama-lamanya,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Katanya, bekas Setiausaha Agung UMNO itu adalah episod penting bagi sejarah perjuangannya dalam dunia politik.

”Akan selamanya menjadi kenangan dan ingatan sewaktu Allahyarham menjadi Menteri Pelancongan Seni dan Budaya dari tahun 1987 sehingga 1996,” ujarnya.

Ismail Sabri berkata, ketika beliau berusia 27 tahun, Allahyarham telah melantiknya sebagai ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh pada tahun 1987, sebelum dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Temerloh beberapa bulan selepas itu.

Pada tahun 1995, beliau memulakan karier politik dengan memegang jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Allahyarham.

”Ketika itulah, banyak pengalaman dan ilmu pengetahuan yang saya peroleh berkat tunjuk ajar Allahyarham.

”Sesungguhnya Allahyarham seorang yang amat berdisiplin dan menepati waktu, malah sangat tekun dan berwibawa dalam melaksanakan amanahnya untuk rakyat dan negara.

”Segala ilmu dan tunjuk ajar Allahyarham, tidak pernah saya lupakan dan akan saya kenang sepanjang kehidupan ini,” katanya yang menyifatkan pemergian Allahyarham adalah kehilangan yang begitu besar, bukan sahaja kepadanya tetapi juga buat negara.

Beliau turut berdoa agar seluruh ahli keluarga diberikan ketabahan menerima kehilangan besar ini.

”Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” doa beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast