Seramai 8,000 penjawat awam di Pahang bakal menerima insentif RM1,200 daripada kerajaan negeri pada Januari tahun depan.- Gambar hiasan.

KUANTAN – Seramai 8,000 penjawat awam di Pahang bakal menerima insentif RM1,200 daripada kerajaan negeri pada Januari tahun depan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, insentif tersebut bakal dinikmati oleh semua penjawat awam melibatkan semua jenis gred di Pahang.

Jelas beliau,, pemberian itu bagi menghargai komitmen penjawat awam dalam memastikan agenda pembangunan negeri dan masyarakat dapat dicapai.

“Kerajaan Pahang akan memberi insentif RM1,200 seorang kepada 8,000 penjawat awam dengan jumlah peruntukan  sebanyak RM9.6 juta itu akan dikreditkan pada Januari tahun 2022.

“Kerajaan negeri tidak pernah melupakan jasa dan komitmen golongan itu dalam memastikan agenda pembangunan negeri dan masyarakat dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pembentangan Belanjawan Negeri Pahang 2022 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini.

Dalam pada itu, Wan Rosdy juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi pakej Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022 dan RM40 juta untuk membantu usaha ke arah endemik Covid-19.

“Sehingga kini kerajaan negeri sudah membelanjakan lebih RM75 juta bagi tujuan perbelanjaan pengurusan dan operasi mencegah penularan Covid-19.

“Untuk tahun depan, kerajaan negeri meneruskan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi pakej BPP 2022,” katanya.

Manakala RM40 juta lagi untuk membantu usaha ke arah endemik Covid-19 termasuk operasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), operasi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan operasi sekatan jalan raya (SJR). – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pahang bentang Belanjawan 2022 dengan lebihan RM5.79 juta