Kerajaan Pahang hari ini membentangkan Belanjawan 2022 dengan anggaran lebihan RM5.79 juta bertemakan Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama, Rakyat Sejahtera.- Gambar FB Wan Rosdy.

KUANTAN – Kerajaan Pahang hari ini membentangkan Belanjawan 2022 dengan anggaran lebihan RM5.79 juta bertemakan Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama, Rakyat Sejahtera.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak RM1.031 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus merangkumi perbelanjaan emolumen, perkhidmatan dan bekalan, pemberian bayaran tetap, perbelanjaan lain dan aset.

“Perbelanjaan mengurus untuk tahun 2022 meningkat sebanyak RM235.57 juta atau 29.61 peratus berbanding tahun 2021.

“Peruntukan sebanyak RM323.26 juta melibatkan projek infrastruktur RM171.98 juta bagi perbelanjaan pembangunan,  manakala RM151.28 juta daripada pinjaman bagi membiayai projek bekalan air,” katanya ketika membentangkan belanjawan berkenaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hari ini.

Dalam pada itu, menurut Wan Rosdy, kerajaan negeri juga menyasarkan kutipan hasil tahun depan sebanyak RM1.036 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM236 juta atau 29.4 peratus berbanding anggaran tahun 2021.

Kutipan hasil tahun 2022 dijangka diperoleh daripada hasil tanah sebanyak RM643.71 juta diikuti hasil perhutanan (RM 150.10 juta), hasil air (RM19.41 juta), geran Kerajaan Pusat (RM101.05 juta) dan lain-lain hasil (RM122.09 juta).

Selain itu, Belanjawan Pahang Tahun 2022 juga memberi fokus kepada lima strategi utama iaitu memenuhi keperluan dan melengkapkan kemudahan asas rakyat, mensejahterakan kehidupan dan pembangunan sosial ekonomi, pelan pemulihan pasca Covid-19 dan pemantapan pentadbiran. – MalaysiaGazette