Skuad Tok Gajah membuat 'pembersihan' secara besar-besaran bagi  apabila melepaskan 14 pemainnya musim ini termasuk kapten pasukan, Muslim Ahmad dan lima tenaga import menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan. Foto Facebook Sri Pahang.

KUALA LUMPUR – Skuad Tok Gajah membuat ‘pembersihan’ secara besar-besaran bagi  apabila melepaskan 14 pemainnya musim ini termasuk kapten pasukan, Muslim Ahmad dan lima tenaga import menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pengumuman itu dibuat Sri Pahang menerusi akaun Facebook miliknya hari ini termasuk menyenaraikan nama semua pemain terbabit.

Selain Muslim, lima pemain import itu adalah Herold Goulon, Abubakar Yakubu, Kenny Athiu, Manuel Hidalgo dan Aung Kaung Mann.

Pemain lain adalah Helmi Eliza Elias, Faisal Rosli, Fazly Mazlan, Zazrir Naim, Ezanie Salleh, Arisazri Juhari, Hazri Rozali dan Faizal Rani.

Dalam pengumuman itu Sri Pahang FC turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua 14 pemain berkenaan selain berkongsi pengalaman bersama pemain terbabit.

“Faisal adalah pemain paling lama dalam pasukan dan satu-satunya anggota skuad juara Piala Malaysia 2014 yang kekal setia membuat keputusan mengucapkan selamat tinggal dan membawa haluan berbeza selepas sembilan tahun menabur bakti.

“Begitu juga penjaga gol Helmi yang bersama pasukan sejak 2016. Walaupun pada usia diklasifikasikan sebagai veteran, Helmi tetap diberi kepercayaan sebagai penjaga gol utama dan menjadi antara tonggak di barisan belakang,” kaya kenyataan itu.

“Kelibat Muslim juga pastinya dirindui setelah menjadi tunjang di posisi pertahanan sejak lima tahun lalu mengemudi benteng dengan penuh yakin dan memakai lilitan kapten musim ini akhirnya tiba masa untuk Muslim mencari angin baru.

“Fazly pula kembali ke pangkuan Johor Darul Ta’zim (JDT) setelah kontrak pinjamannya tamat manakala pemain muda, Zazrir Naim pula menerima tawaran menyertai Pusat Latihan Polis (Pulapol).

“Ezanie, Arisazri, Hazri dan Faizal walaupun kurang membuat penampilan, terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada keluarga besar Sri Pahang,” katanya.

Sri Pahang FC dalam kenyataan itu berkata, sepanjang tiga musim bersama pasukan, Goulon memenangi hati penyokong dengan menjadi jantung di pertahanan pasukan selain turut menjaringkan gol penting.

“Hidalgo, Kaung Mann, Abu Bakar dan Athiu meskipun dibawa masuk pada pertengahan musim dan sempat bersama hanya untuk beberapa bulan, impak yang anda bawa untuk membantu pasukan keluar dari zon penyingkiran tetap kami hargai.

“Sekali lagi, kepada 14 pemain ini, terima kasih diucapkan kerana memberi komitmen dan berjuang sepenuh hati sepanjang menyarung jersi Sri Pahang. Kami ucapkan semoga terus berjaya bersama pasukan baharu. Segala keringat yang dicurahkan untuk skuad Tok Gajah, akan tetap terpahat selamanya dalam kenangan,” tulis Sri Pahang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast