Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mengulangi desakan agar Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mempertimbangkan pengeluaran kali terakhir Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 sekaligus melalui skim i-Citra.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sikap berlenggah-lenggah dalam memenuhi tuntutan rakyat itu hanya menampakkan Tengku Zafrul mengulangi kegagalan Perikatan Nasional (PN) dalam pentadbiran Keluarga Malaysia ketika ini.

“Ramai pakar ekonomi mengkritik prestasi 100 hari, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul yang hakikatnya antara personaliti yang dikekalkan daripada Kerajaan PN yang lepas.

“Rata-rata rakyat marhaen pula masih meletakkan harapan tinggi agar Menteri Kewangan dapat mendengar keluhan mereka untuk dilululuskan pengeluaran kali terakhir KWSP i-Citra RM10,000.

“Ini demi kelangsungan hidup mereka untuk memulakan penghidupan baharu pasca pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Rata-rata rakyat terbelenggu dengan pelbagai komitmen tertunggak, hutang dan sebagainya,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, hari ini.

Pada 1 November lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menggesa kerajaan agar menaikkan had maksimum pengeluaran wang KWSP menerusi skim i-Citra kepada RM10,000 berbanding RM5,000.

Ketika membahaskan Bajet 2022, Najib berkata, peningkatan had tersebut adalah sebagai skim pengeluaran khas terakhir memandangkan ia amat dituntut oleh rakyat kerana keperluan yang mendesak akibat pandemik Covid-19.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, ada dalam kalangan mereka yang memerlukan modal untuk memulakan perniagaan kecil selain menyelesaikan tunggakan hutang.

“Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak turut menyuarakan dalam Parlimen termasuk solusi untuk menampung kembali simpanan yang dikeluarkan pencarum.

“Harap Tengku Zafrul dapat pertimbangkan dengan serius #TuntutanRakyat dalam isu KWSP ini.

“Bagaimana rakyat menilai prestasi Menteri Kewangan ini selepas masuk 100 hari,” katanya lagi. – MalaysiaGazette