KUALA LUMPUR – Pergerakan Wirawati Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Wirawati Putra) menggesa Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Harun turun pandang menyelesaikan masalah dihadapi penduduk sekitar Kampung Sungai Baru, Kampung Baru.
Ketua Wirawati Bahagian Titiwangsa, Nurhafizah Jamalludin berkata, sebagai wakil rakyat yang memegang jawatan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat seharusnya bersama penduduk, bukan membiarkan perkara itu diselesaikan sendiri oleh rakyat.
Katanya, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim pula perlulah campur tangan mencari jalan penyelesaian, bukan sekadar menumpukan hal pengubahan status tanah semata-mata.
“Sudah jelas itu adalah tanah anugerah yang dirizabkan kepada orang Melayu dan soal yang wajar dilakukan oleh menteri ialah memberi tumpuan untuk menyelesaikan hal pemilikan penduduk asal.
“Kita lihat hak penduduk di situ dilayan tidak setara sebagaimana digembar gemburkan sebelum ini seperti bayaran pampasan sewajarnya sehingga RM3,000 sekaki persegi,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Sabtu lalu, MalaysiaGazette melaporkan, penduduk Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, di sini, sekali lagi membuat bantahan terhadap projek pembangunan semula kawasan tersebut yang dianggap berat sebelah dan ‘menindas’ mereka.
Sebahagian penduduk yang tidak berpuas hati dengan tawaran perjanjian itu mula berkumpul di Jalan Sungai Baru kira-kira jam 10 pagi untuk meluahkan tanda protes.
Bagaimanapun, setelah berkumpul kira-kira 15 minit, penduduk terbabit dihampiri anggota polis yang meminta mereka bersurai dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara.
Pengerusi Persatuan Komuniti Sungai Baru, Syed Salehuddin Syed Abdullah dilaporkan berkata, terdapat kira-kira 30 peratus penduduk yang belum menurunkan tanda tangan dan menolak tawaran yang dirasakan tidak setimpal dengan nilai semasa tanah.
Mengulas lanjut, Nurhafizah menggesa Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu (PKB) bertindak sebagai mediator menyelaras isu berbangkit demi kebaikan pemilik tanah sebelum pengambilan dari pemaju, bukan selepas berlaku kesulitan ke atas penduduk.
“Inilah yang Putra katakan, rakyat menang sorak kampung tergadai. Baik kuasa di tangan pemimpin mana sekalipun, tetapi kalau bukan dari kalangan anak tempatan, mereka tidak akan mengambil peduli mengenai nasib dan masa depan penduduk, lebih lagi orang Melayu.
“Jelas sekali ini adalah penindasan terhadap penduduk yang keseluruhannya adalah orang Melayu. Penduduk Kampung Sungai Baru dan sekitarnya perlukan pembelaan kerajaan terhadap masalah ini.
“Saya sendiri sebagai generasi ketiga melihat hal pengurusan dan pembangunan di Kampung Baru masih lagi berat sebelah dan tidak memihak kepada penduduk setempat,” katanya.
Kata beliau, soal pengambilalihan dan pembangunan itu bukan perkara baru, tetapi kali ini penduduk tidak diberi pilihan lagi dan diarah mengosongkan segera kediaman masing-masing dengan pampasan yang tidak wajar.
Katanya, wakil rakyat perlu bertanggungjawab dan campur tangan bukan membiarkan perlara itu berlaku begitu sahaja, sedangkan rakyat dalam kawasannya dibiarkan mencari jalan penyelesaian sendiri untuk meneruskan kehidupan.
“Orang Melayu telah dibuli oleh kerajaan di buminya sendiri tanpa pembelaan yang adil dan saksama, malah pemimpin Melayu pula hanya berani membuli bangsanya sendiri.
“Ada ahli Parlimen seperti tidak berfungsi, tidak menghayati dan langsung tidak ambil peduli masalah yang menimpa rakyatnya,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Penduduk Kampung Sungai Baru bantah pampasan menindas, tidak setimpal