Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan diskaun pembayaran kompaun sebanyak 80 peratus kepada semua notis saman sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bermula 9 sehingga 12 Disember ini.

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan diskaun pembayaran kompaun sebanyak 80 peratus kepada semua notis saman sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bermula 9 sehingga 12 Disember ini.

JPJ dalam satu kenyataan berkata, tawaran berkenaan diberikan kepada semua notis saman yang boleh dikompaun kecuali kes-kes yang masih dalam sebutan pihak mahkamah termasuk yang berstatus waran tangkap atau perbicaraan.

Selain itu, JPJ juga akan menyediakan kemudahan Mobile Unit JPJ dan Kiosk JPJ bertujuan memudahkan orang ramai di dalam melaksanakan urusan transaksi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“Kemudahan pengurangan saman kompaun berjumlah 80 peratus ini akan diberikan di semua pejabat JPJ di seluruh negara untuk tempoh empat hari tersebut sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas kenyataan itu, pengurangan kadar kompaunĀ  diberikan kepada semua saman bagi kesalahan yang boleh dikompaun seperti disenaraikan di dalam Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan (Pengkompaunan Kesalahan) 2003 kecuali kepada kes-kes yang telah didaftarkan di mahkamah termasuk yang berstatus waran tangkap yang belum dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

Katanya lagi, notis saman yang telah dikeluarkan adalah berdasarkan kepada kadar kompaun semasa yang terdapat dalam sistem mySIKAP JPJ terhadap kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334) serta Kaedah- Kaedah dan Perintah-Perintah di bawahnya termasuklah kes yang masih dalam tindakan senarai hitam (blacklist).

Dalam pada itu, tawaran berkenaan turut diberikan kepada semua notis saman yang masih aktif dan tempoh kompaun masih berkuat kuasa dengan syarat urusan pembayaran tersebut dilakukan dalam tempoh yang telah dinyatakan di semua pejabat negeri, cawangan, Unit Transformasi Bandar (UTC) JPJ, kiosk serta secara atas talian melalui portal mySIKAP JPJ (https:/public.jpj.gov.my/).

Walau bagaimanapun, bagi pesalah-pesalah lalu lintas yang telah disenarai hitam, pesalah terbabit dikehendaki untuk hadir sendiri di kaunter JPJ bagi tujuan proses dokumentasi semula sebelum sebarang urusan pembayaran dapat dilakukan.

“Oleh itu, orang ramai adalah disarankan untuk membuat semakan status saman terlebih dahulu terutama rekod yang melibatkan saman AES (melalui portal mySIKAP
JPJ), atau di mana-mana kaunter JPJ agar dapat mengambil peluang pengurangan saman yang akan diberikan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette