KUALA LUMPUR – Kempen Go-eCommerce Onboarding dan Shop Malaysia Online Belanjawan 2021, yang diterajui oleh Kementerian Kewangan berjaya merekodkan penyertaan 500,000 perniagaan dan menjana 85 juta transaksi dengan Nilai Barangan Kasar (GMV) lebih RM4.6 bilion setakat bulan Oktober lalu.

Objektif Go-eCommerce Onboarding dan Shop Malaysia Online Belanjawan 2021 untuk menyokong peniaga tempatan menyertai platform e-dagang dengan memberi fokus untuk promosi sektor seperti seperti halal, kraf tangan, pertanian, peruncitan dan perkhidmatan untuk membantu meningkatkan penjualan dan jangkauan perniagaan-perniagaan kecil Malaysia.

Selain itu untuk menggalakkan peniaga tempatan baharu menggunakan platform e-pembayaran dan membantu mendigitalkan proses pembayaran.

Kempen ini akan bermula pada 1 Julai 2021 dan berakhir pada 31 Disember 2021.

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) berkata, kempen ini mensasarkan untuk menjana lebih RM1 bilion GMV menerusi 10 juta transaksi.

Setakat tempoh itu, daripada lebih 500,000 penjual telah menyertai kempen ini dengan 320,000 daripadanya ialah penjual baharu yang menggunakan platform eDagang.

Kempen berkenaan juga berjaya merekodkan pendaftaran seramai 157,566 usahawan wanita, sekali gus melepasi sasaran awal iaitu seramai 30,000 orang untuk tahun 2021.

Seramai 32 rakan eDagang telah terlibat iaitu à la carte, Beep by Storehub, Boost, Delivereat, Dhause, Dropee, eRomman, EZAssist, Fave, Food Market Hub, Foodpanda, Grab, iBeli, Instant eStore, JDMas, Jocom, Kravve, Kumoten, Lazada, Lokein, Mpay, PGMall, PrestoMall, Maybank, SenangPay, Shopee, Shopline, SiteGiant, Subplace, Touch ‘N Go eWallet, Wonderfly dan Zalora.

”Kami amat teruja dengan perkembangan terkini kempen Go-eCommerce Onboarding dan Shop Malaysia Online Belanjawan 2021. Ini menjadi bukti jelas bahawa insentif yang disuntik oleh kerajaan dan rakan yang terlibat kepada rakan eDagang dan eBayar, telah memberi impak besar dalam membantu memulihkan ekonomi.

”Kami akan terus memecahkan rekod berkenaan memandangkan kempen tersebut hanya akan berakhir pada 31 Disember 2021,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, MDEC, Mahadhir Aziz.

Tambahnya, kerajaan menyedari keperluan industri dan kepentingan untuk meneruskan bantuan pemulihan dan pemangkin pertumbuhan ekonomi pasca pandemik.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif Belanjawan 2021, kerajaan telah menyuntik pakej insentif bernilai RM200 juta dalam kempen berkenaan dengan menyasarkan untuk membantu perniagaan tempatan merangkumi pelbagai sektor untuk mengadaptasi platform eDagang dan eBayar, bagi meningkatkan keupayaan jualan dalam eDagang.

Sebanyak RM100 juta telah diperuntukkan untuk membantu perniagaan tempatan untuk mengadaptasi platform eDagang menerusi kempen Go-eCommerce Onboarding.
.
Kempen Go-eCommerce Onboarding dan Shop Malaysia Online Belanjawan 2021 masih berlangsung dan untuk menyertai atau mengetahui lebih lanjut boleh layari:http://www.mdec.my/belanjawan2021. – MalaysiaGazette