KUALA LUMPUR – Kedah Darul Aman (KDA) FC mengumumkan kehadiran bekas pemain Perak FC, Amirul Azhan Aznan bagi menghadapi Liga Malaysia musim 2022.
Amirul yang berusia 28 tahun dan berasal dari Ipoh merupakan produk Sekolah Sukan Bukit Jalil.
Dia yang beraksi di bahagian pertahanan kanan dan mampu bertindak sebagai sayap telah lama menabur bakti bersama Perak dari peringkat remaja hingga ke pasukan utama.
“Kehadiran beliau bakal memberi saingan di posisi pertahanan kanan KDA FC. Beliau yang pernah mendapat panggilan skuad kebangsaan sebelum ini berazam untuk lebih bersedia dan memperbaiki prestasi bersama pasukan Kedah dalam bersaing untuk disenaraikan dalam barisan kesebelasan utama skuad hijau kuning,” tulis KDA FC di Facebook miliknya. – MalaysiaGazette