Pemain Johor DT, Mohamadou Sumareh (kiri) mudah mendapatkan jaringan selepas sepakannya tidak berjaya dihalang penjaga gol Selangor FC, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid (kanan) pada perlawanan Liga Super Malaysia 2021 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar mengesahkan pihak sudahnya menghantar permohonan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) untuk menukar pemain di poisis penjaga gol dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.

Penjaga gol Selangor, Khairul Azhan Khalid disahkan positif Covid-19 selepas keputusan ujian saringan PCR yang dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa, Changi pada Jumaat lalu.

Menurut laporan daripada wartawan Astro Arena, FAM mahu tukar Khairul Azhan dengan penjaga gol lain iaitu Sam Somerville dan Azri Ghani jika sudah pulih daripada kecederaan.

Berdasarkan undang-undang pertandingan AFF, tiada sebarang penambahan pemain dibenarkan selepas tarikh tutup pendaftaran kecuali pertukaran pemain melibatkan posisi penjaga gol.
Oleh itu, khidmat seorang lagi pemain yang positif Covid-19, Faisal Halim dikekalkan.

“Bukan tambah pemain tetapi kita minta untuk dapatkan penjaga gol sahaja. Sekarang kita cuma ada 2 penjaga gol yang boleh beraksi, jadi kita nak tiga. Untuk posisi penjaga gol, kita boleh mohon kebenaran menggantikan pemain sedia ada, itu memang mengikut lunas undang-undang pertandingan.

“Pemain lain tak boleh tukar, memang dalam undang-undang pertandingan FIFA atau AFC begitu. Contohnya, jika penjaga gol cedera, kita kena sahkan dengan surat doktor baru pertukaran dibenarkan,” kata Saifuddin kepada Bernama.

Harimau Malaya memulakan kempen Piala AFF dengan nota kemenangan selepas menewaskan Kemboja, 3-1 petang kelmarin.

Mereka dijadualkan menentang Laos pada perlawanan kedua esok. – MalaysiaGazette