Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Kerajaan membenarkan aktiviti pengeksportan pasir sungai berdasarkan permohonan dikemukakan sesebuah syarikat.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kelulusan pengeksportan pasir dikeluarkan pihaknya khusus bagi tapak konsesi diluluskan pihak berkuasa negeri.

Jelas beliau, kelulusan itu dibuat dengan perincian seperti kuantiti pasir boleh dieksport, destinasi eksport dan tempoh pengeksportan boleh dijalankan.

Beliau berkata, permohonan mendapatkan kelulusan mengeksport pasir sungai akan diproses mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KeTSA.

“Pemohon perlu terlebih dahulu mendapatkan kelulusan sumber pasir sungai (konsesi) daripada pihak berkuasa negeri dan melengkapkan semua dokumentasi teknikal. Semua permohonan disemak dan dinilai secara teknikal oleh jawatankuasa dikenali Jawatankuasa Teknikal Pengeksportan Pasir Ke Luar Negara (JKTEP).

“JKTEP turut melibatkan agensi teknikal seperti Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia dan lain-lain yang dijemput mengikut keperluan,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketkika menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (WARISAN-Kota Belud).

Takiyuddin turut memberitahu, KeTSA juga bersedia dengan mekanisme teratur bagi mengawal selia aktiviti pengeksportan pasir agar dapat mengembalikan kapasiti asal sungai.

“Ia antara lain bagi menampung aliran air permukaan serta mengelakkan risiko banjir,” katanya sambil menambah lesen mengeksport pasir ke luar negara dikeluarkan kepada 29 syarikat dengan kuantiti pasir diluluskan sebanyak 455,349,439 tan tahun ini. – MalaysiaGazette