Saturday, April 20, 2024
Home Nasional Halimah buat kenyataan bercanggah mengenai SOP Thaipusam – Guan Eng

Halimah buat kenyataan bercanggah mengenai SOP Thaipusam – Guan Eng

Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng meminta Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique hadir ke Parlimen untuk menerangkan sejelas-jelasnya kenyataan beliau berhubung prosedur operasi standard (SOP) sempena Hari Thaipusam.

Beliau mendakwa,  Halimah telah mengeluarkan kenyataan bercanggah dan menimbulkan kekeliruan bukan sahaja kepada ahli-ahli Parlimen malah kepada rakyat.

Namun beliau tidak bercadang untuk merujuk menteri tersebut ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen namun meminta Halimah hadir ke Parlimen memberi penjelasan.

“Apa kedudukan yang sebenarnya? Ini adalah perkara agak sensitif berkaitan perarakan Chingay dan Thaipusam.

“Janganlah di Parlimen cakap lain, di luar cakap lain. Kalau dia cakap lain, kembalilah ke Parlimen, betulkan. Kalau tidak, kita keliru mana yang betul yang mana tidak kerana Selasa cakap macam ini, Rabu cakap lain.

“Saya harap Yang Dipertua Dewan Rakyat arahkan beliau (Halimah)  betulkan apa yang beliau buat. Kita bukan nak cari pasal tapi biarlah kami dapat maklumat betul di Parlimen. Saya harap Yang Dipertua boleh arah beliau balik ke Parlimen dan buat perkara tepat.

“Saya tidak berniat untuk bawa ke jawatankuasa, saya tidak niat begitu tapi minta beliau kembali ke Parlimen dan buat pembetulan. Kalau salah, betulkan. Saya rasa itu yang harus dibuat seorang menteri yang bertanggungjawab,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan upacara membawa kavadi dan ritual mandi di sungai secara berkumpulan merupakan antara aktiviti yang dicadangkan tidak dibenarkan semasa sambutan Thaipusam bulan hadapan.

Bagaimanapun Halimah berkata, cadangan prosedur operasi standard (SOP) perayaan tersebut akan dibawa untuk diluluskan menerusi tiga mesyuarat pada 13 hingga 15 Disember ini.

Menurut beliau, cadangan SOP tersebut dirangka hasil sesi libat urus pada 2 Disember lalu yang dihadiri 10 pemimpin agama Hindu dari Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Perak, dan Johor.

Antara cadangan yang dikemukakan adalah membenarkan upacara sembahyang mengikut SOP Pembukaan Rumah Ibadat Selain Islam dan membenarkan perarakan kereta berhala silver chariot tertakluk kepada beberapa ketetapan.

Selain itu, penganut yang meraikan Thaipusam turut dibenarkan membawa paal koodam (belanga berisi susu) dan mencukur rambut. – MalaysiaGazette