Foto Facebook Football Association of Malaysia.

KUALA LUMPUR – Malaysia mudah meraih kemenangan besar 4-0 ke atas Laos dalam aksi kedua Kumpulan B saingan Piala AFF 2020 di Stadium Bishan, Singapura, sebentar tadi.

Dalam perlawanan itu, Safawi Rasid menjadi watak utama dengan ledakan hatrik untuk menjelmakan kemenangan kedua berturut-turut buat skuad negara.

Kemenangan penting itu juga menyaksikan skuad negara terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas saingan kumpulan B apabila pencabar terdekat, Vietnam tidak beraksi pada hari ini.

Tiga pemain muda, Arif Aiman Mohd Hanapi, Luqman Hakim Shamsudin dan Mukhairi Ajmal Mahadi mendapat kepercayaan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk diletakkan sebagai pemain di kesebelasan utama.

Cheng Hoe turut melakukan rombakan di bahagian serangan apabila merehatkan pemain naturalisasi, Guilherme De Paula yang menyaksikan Luqman bertindak selaku penggempur utama Harimau Malaya.

Kemenangan itu menyaksikan Harimau Malaya kekal di kedudukan teratas dengan mengumpul enam mata selepas menewaskan Kemboja 3-1 pada aksi pertama Kumpulan B, Isnin lalu.

Seterusnya, anak buah Cheng Hoe akan mengharungi perlawanan sukar berdepan juara bertahan, Vietnam, Ahad ini dan aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Indonesia, 19 Disember ini. – MalaysiaGazette