KUALA LUMPUR – Pencapaian prestasi jemaah menteri untuk tempoh 100 hari kini telah mencapai tahap 90 peratus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, prestasi keseluruhan menteri bagi tempoh itu belum menepati sasaran 100 peratus seperti yang dihasratkan.
Bagaimanapun katanya, sesetengah prestasi tidak boleh dinilai daripada kaji selidik semata-mata dan peratusan yang dicapai itu bukan alasan untuk tidak mendabik dada.
Sebaliknya, ia perlu menjadi penyuntik kesungguhan dan iltizam untuk terus berkerja bersama rakyat.
“Sasaran penuh petunjuk presatsi utama (KPI) ini tidak mustahil untuk dicapai sekiranya seluruh ahli jemah menteri dengan kerjasama penjawat awam, menggembleng tenaga dan memberkian perkhidmatan yang terbaik dan berkesan kepada Keluarga Malaysia dengan mengetepikan segala kerenah birokrasi yang rumit.
“Bak kata orang Iban, jika bersatu, suara kita akan lebih didengar, jika berpecah usaha kita sia-sia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, kerajaan telah membuktikan pelaporan 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia ini bukan bagai menumbuk padi hampa.
Sebaliknya, beliau berkata, impak yang terhasil dapat memberikan manfaat kepada rakyat dan hal itu dibuktikan dengan kejayaan Aspirasi Keluarga Malaysia berdasarkan enam teras.
Keenam-enam teras itu adalah menstruktur semula ekonomi, menjamin keselamatan dan ketenteraman negara, meningkatkan kesejahteraan sosial, memepertingkatkan infrastruktur menyeluruh, memperkukuh penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia dan memperkasakan penyampaian perkhidmatan.
“Pencapaian 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia tidak akan terhenti setakat ini malah aspirasi kami untuk bekerja bersama rakyat akan berterusan melalui pelan jangka masa sederhana bagi tempih enam bulan dan sasaran jangka panjang,” tambahnya. – MalaysiaGazette