Quentin Cheng.

KUALA LUMPUR – Selepas pemain sayap kebangsaan, Akhyar Rashid, Harimau Malaya terus rundung malang di Piala AFF 2020 selepas bek Quentin Cheng menjadi senarai pemain baharu didapati positif Covid-19.

Senario terkini itu menyaksikan seramai empat anak buah Tan Cheng Hoe dijangkiti wabak berkenaan selepas penjaga gol, Kharul Azhan Khalid dan pemain sayap, Faisal Halim yang sudah terlepas dua aksi awal Kumpulan B berdepan Kemboja dan Laos.

Petang tadi, Cheng Hoe mengesahkan Akhyar didapati positif selepas ujian hari ini, sekali gus menjawab persoalan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tiada dalam skuad ketika Harimau Malaya menundukkan Laos 4-0.

Malaysia hanya membawa 24 pemain ke Piala AFF berbanding 30 pemain yang dibenarkan yang mana kebanyakan pasukan membawa skuad maksimum.

Mengikut peraturan, pemain yang dijaangkiti Covid-19 akan menjalani proses pengasingan selama 10 hari.

Walaupun akan menjalani kuarantin 10 hari, mereka akan melakukan ujian Covid-19 setiap hari dan sekiranya negatif, pasukan boleh memohon untuk mereka kembali berada dalam pasukan.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar mengesahkan pihaknya sudah menghantar permohonan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) untuk menukar pemain yang dibenarkan hanya di posisi penjaga gol dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura. – MalaysiaGazette