Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin

KUANTAN – Rizab Biosfera Tasik Chini (TCRB) di Pekan diperluas daripada 6,922.96 hektar kepada 9,147,18 hektar bagi pemuliharaan kawasan berkenaan.

Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, sebahagian kawasan baharu TCRB itu akan diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK).

Tambah Sharkar, kerajaan negeri kini sedang memulihkan kawasan TCRB dengan pelbagai tanaman tutup bumi termasuk pokok di kawasan berhampiran tasik terbabit.

“Bagi tujuan pemulihan Tasik Chini, Jawatankuasa Khas Tindakan Pemulihan Tasik Chini bagi menyelaras semua tindakan pemulihan di kawasan tersebut.

“Tanaman tutup bumi ditanam kawasan tasik dapat mengelak kegiatan penerokaan hutan di kawasan terbabit serta kerja pemulihan tanah  dilakukan bagi mengelakkan sebarang efluen masuk ke dalam tasik,” katanya.

ADUN Lanchang itu menyatakan demikian bagi menjawab soalan Mohd Sharim Md Zain (BN-Chini) mengenai usaha kerajaan negeri dalam pemuliharaan semula kawasan resort Tasik Chini sebagai kawasan pelanconganpada Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang (DUN) ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Selain itu, beberapa projek pemuliharaan dijalankan bersama agensi kerajaan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang serta Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM) di kawasan sekitar TCRB.

Jelas Sharkar, antara usaha yang dilakukan ialah pembinaan nurseri dan pelepasan ikan bagi penambahan sumber perikanan air tawar, pemulihan tebing Sungai Chini serta pemuliharaan Teratai di Tasik Chini. – MalaysiaGazette